suria

1MDB: Bekas Pegawai Bank Dipenjara 30 Bulan

SINGAPURA: Bekas eksekutif bank, Yeo Jiawei dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan pada Khamis selepas dia disabitkan atas kesemua empat kesalahan menganggu saksi dalam kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagi setiap satu tuduhan, Yeo boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Menerusi hukuman yang dibacakan pada Rabu susulan perbicaraan selama 12 hari berakhir bulan lalu, hakim menyifatkan bekas eksekutif Bank BSI itu adalah seseorang yang "tidak boleh diharap" dan "tidak berwibawa" sebagai seorang saksi.

Hakim Ng Peng Hong berkata: "Tertuduh (Yeo) menafikan cuba dengan sengaja menidakkan keadilan. Dia mendakwa orang yang membuat rancangan untuk menipu kepada CAD (Jabatan Ehwal Komersil) adalah Kevin Swampillai (bekas penyelianya di BSI).

"Selepas menilai bukti yang bercanggah...saya mendapati tertuduh tidak boleh dipercayai dan bukan seorang saksi yang berwibawa. Beliau gagal menimbulkan sebarang kesangsian terhadap kes pihak pendakwa. Pihak pendakwaraya telah membuktikan secara jelas dan nyata berhubung kesemua dakwaan yang dihadapi," katanya.

Mahkamah mendapati bahawa selepas Yeo dibebaskan atas ikat jamin polis, dia mengatur satu pertemuan pada 27 Mac di Swiss Club bersama-sama rakannya, Samuel Goh Sze-Wei dan Swampillai yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Khidmat Pengurusan Mewah BSI.

Yeo memberitahu mereka supaya berbohong kepada polis bahawa wang yang dipindahkan Goh kepada syarikat adalah milik Swampillai dan Yeo adalah pelaburannya. -BeritaHarianSG

1MDB, Yeo Jiawei

Artikel Lain