suria

Militan Daesh Mengaku Dalang Serangan Berlin, Suspek Masih Diburu

PAKAR forensik Jerman melakukan pemeriksaan di lokasi rempuhan treler di kawasan pasar Krismas di Berlin pada 20 Disember 2016. - AFP

BERLIN: Militan Daesh mengaku bertanggungjawab dalam serangan di pasar Krismas di ibu negara Jerman pada Isnin yang mengorbankan 12 nyawa dan mencederakan kira-kira 50 mangsa, ketika pihak berkuasa negara itu masih buntu mencari suspek yang terlibat dalam tragedi tersebut.

Menerusi kenyataan yang disiarkan dalam agensi berita Amaq, kumpulan pengganas itu mendakwa pemandu treler yang merempuh orang ramai di pasar berkenaan, merupakan "seorang daripada askar militan Daesh".

Bagaimanapun militan tersebut tidak memberikan butiran lanjut tentang pemandu treler itu sama ada suspek menerima arahan daripada kumpulan Daesh atau sekadar penyokong gerakan berkenaan.

Kenyataan Daesh itu dikeluarkan selepas pihak berkuasa Jerman membebaskan seorang pencari suaka politik dari Pakistan yang pada awalnya ditahan bagi membantu siasatan.

Polis Jerman berkata, mereka tidak mempunyai bukti yang cukup untuk mengaitkan lelaki berusia 23 tahun itu dalam serangan terbabit.

Sementara itu, Canselor Jerman, Angela Merkel pada Selasa berkata, buat masa ini, kerajaan menyifatkan insiden tersebut sebagai serangan pengganas.

Gerakan memburu suspek masih lagi dilancarkan dan pihak berkuasa Jerman masih buntu untuk menentukan jumlah individu yang terlbat dalam serangan tersebut.

Dalam perkembangan berasingan, seramai 24 mangsa yang cedera dalam kejadian terbabit telah dibenarkan keluar hospital selepas mendapatkan rawatan.


Berlin, Daesh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain