suria

Apec Terakhir Obama

Obama meninggalkan pentas Apec selepas sidang media pada hari terakhir persidangan itu, Ahad.

LIMA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengucapkan selamat tinggal kepada barisan kepimpinan dunia ketika menghadiri lawatan terakhir ke luar negara sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di sini.

Obama turut menyampaikan nasihat kepada penggantinya selain memaklumkan rancangannya untuk membawa isterinya, Michelle bercuti selepas menamatkan perkhidmatannya.

Malahan, Obama turut berkata, beliau mahu berehat, meluangkan masa dengan anak-anak perempuannya dan menulis.

Katanya, beliau tidak berhasrat untuk berkecimpung semula dalam bidang politik dalam masa terdekat tetapi tidak akan berundur daripada dunia politik keseluruhannya.

“Saya mahu menghormati pentadbiran ini dan memberi peluang kepada bakal presiden untuk melaksanakan tangunggjawabnya.

“Sebagai warga AS yang mengambil berat tentang negara, jika terdapat sebarang cadangan atau peperangan mengenai nilai dan impian kita dan sekiranya saya rasa perlu untuk mempertahankannya, maka saya akan mempertimbangkannya,” katanya.

Pemilihan Obama sebagai Presiden AS dikatakan melakar sejarah apabila pilihan raya yang diadakan pada 2008 buat pertama kali memilih ketua negara berkulit hitam.

Beberapa pemimpin dunia turut mengucapkan selamat tinggal secara beremosi kepada Obama sebaik selesai persidangan berkenaan.

“Ia merupakan kenangan yang hebat, namun menyedihkan apabila ini merupakan pertemuan kali terakhir kita,” kata Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pula berkata, beliau akan merindui kehadiran Obama pada masa akan datang.

Malah, Obama turut mengumumkan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik masih berfungsi walaupun bakal Presiden baharu, Donald Trump semasa berkempen berjanji untuk membatalkannya. – AFP





Apec, Barack Obama, AS. Peru

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain