suria

Seludup Daging: China Arah Usir Warga Jepun Selepas Empat Tahun Penjara

BEIJING: Mahkamah di China mengarahkan seorang warga Jepun diusir selepas selesai menjalani hukuman penjara empat tahun kerana menyeludup daging lembu yang diharamkan bernilai lebih 13 juta yuan (RM8 juta).

Tertuduh yang terlibat dalam kegiatan itu selama dua tahun juga diperintah membayar denda sebanyak 300,000 yuan (RM191,440) oleh pihak mahkamah.

Menurut laporan portal berita Thepaper.cn, tiga lelaki lain turut membantunya, termasuk dua rakan senegaranya dan seorang warga China.

Penyeludupan daging dari Jepun ke negara ini diharamkan sejak 2001 selepas Jepun disenaraikan antara kawasan penyakit lembu gila atau dikenali sebagai BSE.

Kes melibatkan lelaki itu dikesan apabila daging lembu tersebut dihantar dengan mengisytiharkannya sebagai buah-buahan, kemudian dijual kepada pemborong tempatan, dan seterusnya kepada restoran makanan Jepun di Shanghai.

Sementara itu, lelaki warga China terlibat dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda 100,000 yuan (RM63,813), selepas didapati bersalah menyeludup daging lembu Jepun.

Selain itu, dua lagi rakyat Jepun yang ditahan akan dibicarakan berasingan.

Daging lembu yang diseludup antara Ogos 2013 dan Mac 2015 telah terjual sebanyak 13 juta yuan (RM8 juta).

Sejumlah besar daging lembu tersebut telah dirampas pihak berkuasa Shanghai kerana ia boleh menyebabkan keracunan atau penyakit berbahaya.

Selain itu, dua warga Cina yang terlibat dalam penyimpanan dan penjualan daging ini, masing-masing dipenjara dua dan tiga setengah tahun.- South China Morning Post

 

lembu, Jepun, yuan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain