suria

Kumpulan Anti Trump Protes Di Jalanan

Kumpulan anti Trump bertindak ganas di beberapa kawasan kerana tidak puas hati dengan kemenangan hartawan itu.

KEMENANGAN Donald Trump menimbulkan kemarahan di kalangan penduduk yang memihak kepada pesaingnya Hillary Clinton apabila ada yang bertindak ganas memusnahkan harta awam.

Sebaik keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) diketahui ramai, kumpulan anti Trump menunjukkan ketidakpuasan hati mereka dengan memecahkan tingkap di sekitar bandar Oakland, California.

Di Oregon, puluhan penduduknya menyekat jalan raya di Portland hingga mengakibatkan perjalanan kereta api tergendala.

Laporan media tempatan menyebut, kumpulan itu meningkat kepada kira-kira 300 orang termasuk yang bertindak duduk di tengah jalan. Malahan, ada yang membakar bendera AS sambil menjerit: "Itu bukan presiden kami."

Di Seattle pula, kira-kira 100 bertindak memprotes di kawasan Capitol Hill juga dengan menyekat trafik dan menghidupkan api dalam tong sampah.

Selain itu di Pennsylvania, dilaporkan penuntut Universiti Pittsburgh berarak di jalanan sambil sebahagiannya melaungkan pendirian berkaitan perpaduan.

Tunjuk perasaan juga berlaku di Universiti Texas, University Connecticut, Universiti California, Berkeley dan beberapa kampus lain.

Menerusi Twitter, hashtag "NotMyPresiden" telah digunakan hampir setengah juta kali.

Tunjuk perasaan di Oakland meningkat kepada 250 orang. 

Menurut pegawai polis, Marco Marquez, peserta tunjuk perasaan itu bertindak memusnahkan lima premis perniagaan dengan memecahkan tingkap dan menyembur cat.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Seorang wanita terperangkap dalam kereta dan cedera apabila kumpulan anti Trump bertindak ganas di Lebuh Raya California hingga menyebabkan laluan itu terpaksa ditutup kira-kira 20 minit.



Donald Trump, Oakland, Seattle

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Trump Jumpa Obama Di White House

Artikel Lain