suria

'Penyanyi Rap' Di Landasan Akibatkan Ribuan Pengguna Kereta Api Terkandas

Foto twitter Lianna Brinded.

RIBUAN pengguna kereta api di London terpaksa berdepan dengan kelewatan perjalanan selepas seorang lelaki bertindak melompat ke landasan, menanggalkan bajunya dan mula menyanyikan lagu rap.

Kejadian berlaku di atas landasan Norwood Junction, selatan London pada kira-kira pukul 6 petang Isnin (2 pagi Selasa waktu Malaysia).

Beberapa petugas stesen kereta api cuba mengarahkan lelaki berkenaan untuk beredar keluar dari landasan.

Pasukan polis kemudiannya tiba bagi menahan lelaki yang mencerobohi kawasan landasan.

Suspek melarikan diri ke arah landasan yang gelap menghala East Croydon sebelum berjaya ditahan.

Seorang editor Business Insider, Lianna Binded yang berada di stesen ketika kejadian berkata, lelaki berkenaan meminta rokok dan memberitahu mahu terpapar dalam YouTube.

"Lelaki itu mula menanggalkan pakaiannya dan menjerit, selepas itu dia menceroboh ke landasan dan menyanyikan lagu rap secara spontan," katanya kepada akhbar The Evening Standard.

Jadual perjalanan kereta api disambung semula pada pukul 7.26 malam (3.26 pagi Selasa waktu Malaysia). - Mail Online


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain