suria

"Saya Rela Ditangkap, Dipenjara Jika Bersalah" - Ahok

JAKARTA: Setelah Jakarta menjadi 'kacau' selama sehari pada Jumaat lepas ekoran demonstrasi oleh ratusan ribu umat Islam bagi menentang Ahok, penyandang gabenor Jakarta itu kini muncul memberi kenyataan bahawa beliau sebenarnya telah difitnah.

"Kalau negara hancur kerana seorang (bernama) Ahok, saya rela ditangkap dan dipenjara tetapi saya tidak akan rela dipenjara kerana difitnah," kata Ahok sebagai reaksinya terhadap demonstrasi itu.

Ahok atau nama sebenarnya Basuki Tjahaja Purnama, yang akan mempertahankan jawatannya sebagai gabenor Jakarta pada Pilihan Raya Ketua Daerah (Pilkada) Februari 2017, dipetik sebagai berkata demikian oleh media-media tempatan pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai demonstrasi itu, Ahok berkata beliau telah difitnah apabila video ucapannya di Pulau Seribu pada bulan lepas disunting oleh orang tertentu bagi menggambarkan seolah-olah beliau mempertikaikan Surah Al Maidah ayat 51.

Katanya, beliau tidak bermaksud untuk menista atau menghina ayat suci Al-Quran dan meminta maaf kepada semua umat Islam jika kata-katanya itu telah disalah tafsir.

Ratusan ribu umat Islam menyertai demonstrasi sebagai membantah kenyataan Ahok yang disifatkan sebagai penista agama Islam apabila meminta mereka agar tidak terpedaya dengan pihak menggunakan surah Al-Maidah yang menyebut umat Islam dilarang untuk memilih orang bukan Islam sebagai pemimpin mereka.

Ahok berkata beliau akan menghadirkan diri di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Polis di Jakarta bagi memberi keterangan kali kedua.

Beliau telahpun memberi keterangan polis pada dua minggu lepas.

Ahok berkata keluarganya bersedia menerima apa juga keadaan jika beliau ditangkap dan dipenjara kerana mereka memahami risiko jawatan yang beliau sedang pertahankan.

Beliau kini masih aktif menjalankan kempen bertemu pengundi tetapi tidak mahu menghebahkan jadual hariannya kepada media, malah pada hari demonstrasi itu, beliau dikatakan sempat menemui pengundi di sebuah kawasan rumah pangsa.

Polis juga mengenakan kawalan ketat di sekitar kawasan kediaman Ahok di sebuah kawasan elit di Jakarta Utara bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ketua Polis Republik Indonesia Tito Karnavian dalam sidang medianya semalam berkata siasatan terhadap kes Ahok akan dilakukan secara terbuka dan boleh disiarkan secara langsung oleh media massa bagi membolehkan rakyat mengekses semua butiran siasatan secara telus.

Katanya selain Ahok, polis akan memanggil beberapa saksi termasuk golongan ulama dan pakar bahasa untuk memberi pandangan mengenai konteks petikan ayat Al Quran yang disebut oleh Ahok.

Demonstrasi yang bermula selepas solat Jumaat itu berakhir dengan kekacauan pada sebelah malam apabila sebahagian pesertanya enggan bersurai dan cuba menghampiri Istana Kepresidenan.

Polis terpaksa melepaskan tembakan dengan menggunakan meriam air dan peserta perhimpunan itu pula membalasnya dengan melontar pelbagai objek termasuk batu dan kayu serta membakar dua trak milik pasukan keselamatan. - BERNAMA

Ahok, Gabenor Jakarta

Artikel Sebelum

Trump Cemas Di Nevada

Artikel Berikut

Artikel Lain