suria

Tembakan Di Lapangan Terbang Ataturk, Dua Lelaki Ditahan

ISTANBUL: Pihak berkuasa Turki melarang kenderaan daripada memasuki dan meninggalkan Lapangan Terbang Ataturk pada Ahad selepas polis melepaskan tembakan apabila sebuah motosikal enggan mematuhi arahan supaya berhenti, kata CNN Turk.

Seorang daripada dua lelaki yang menunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan dan ditahan manakala seorang lagi diberkas selepas polis melancarkan operasi mencari.

Tiada anggota polis mahupun orang awam yang dilaporkan cedera.

Pada Jun lalu, pengebom berani mati dipercayai anggota militan IS membunuh 41 orang manakala 240 lagi mengalami kecederaan akibat tembakan dan letupan di lapangan terbang itu.

Insiden terbaharu itu tidak menjejaskan operasi di Ataturk, lapangan terbang ketiga paling sibuk di Eropah.

Ataturk adalah hab bagi penerbangan nasional negara itu, Turkish Airlines.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan punca polis mengarahkan lelaki itu supaya menghentikan motosikal ditungganginya.

Pada Jumaat pula, sebuah bom kereta meletup di tengah bandar utama Kurdish, Diyarbakir mengakibatkan 11 orang maut dan lebih 100 lagi cedera.

Sementara itu, pegawai menyalahkan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) walaupun militan IS mengaku bertanggungjawab atas serangan berkenaan. 


Lapangan Terbang Ataturk

Artikel Sebelum

Artikel Lain