suria

Kumpulan Rohingya Ragu Lawatan Delegasi Asing Ke Rakhine

Penduduk Rohingya di kampung Maungdaw di Rakhine pada 27 Oktober 2016. - REUTERS

BANGKOK: Sebuah persatuan Rohingya berpejabat di Thailand menyuarakan keraguannya tentang lawatan wakil Pertubuhan Bangsa Bersatu dan duta asing ke negeri Rakhine, Myanmar baru-baru ini di mana masyarakat Rohingya didakwa menjadi mangsa penindasan hak asasi manusia.

Menurut presiden Persatuan Rohingya Burma di Thailand (BRAT) Maung Kyaw Nu, lawatan mencari fakta itu telah dirancang terlebih dahulu dan merupakan suatu helah untuk menipu delegasi asing tentang keadaan semasa yang dihadapi etnik minoriti Islam di negeri yang bergolak itu.

"Kami menerima laporan yang mendakwa bahawa dua tiga hari sebelum lawatan itu, pihak berkuasa pergi ke kampung terjejas dan memberi amaran kepada penduduknya supaya tidak menceritakan perkara tidak baik kepada anggota perwakilan.

"Mereka (penduduk kampung) akan ditangkap sekiranya mereka bercerita (memberi maklumat negattif) kepada anggota perwakilan," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini baru-baru ini, dan menjelaskan bahawa anggota perwakilan berkenaan tidak mendapat gambaran sebenar melalui kunjungan "yang dilatih atur" itu.

Maung, yang mendakwa dirinya sebagai bekas aktivis pelajar dan pernah dihukum penjara di Myanmar sebelum melarikan diri ke luar negara, berkata Rohingya di negeri Rakhine tidak berani bercakap secara terbuka kerana bimbang akan dikenakan tindakan balas.

Media antarabangsa melaporkan askar Myanmar merogol dan membunuh orang awam secara sistematik di negeri Rakhine berikutan serangan terhadap pos kawalan sempadan oleh sekumpulan lelaki bersenjata pada 9 Okt yang menyebabkan sembilan pengawal sempadan Myanmar terbunuh.

Pihak berkuasa menuduh serangan itu dilakukan sebuah kumpulan Rohingya tidak dikenali, tetapi ia disangkal masyarakat dan pemerhati antarabangsa.

Kerajaan Myanmar membenarkan misi mencari fakta itu diadakan setelah dikritik hebat oleh masyarakat antarabangsa. - BERNAMA

Rohingya

Artikel Berikut

Artikel Lain