suria

Penduduk Selatan Thai Diminta Tenang, Tidak Panik - Kerajaaan Thailand

Insiden letupan di Selatan Thailand pada Rabu malam.

BANGKOK: Kerajaan Thailand menggesa rakyat di wilayah selatan supaya bertenang dan tidak panik berikutan serangan di kawasan bergolak itu pada Rabu malam mengakibatkan tiga maut dan enam yang lain cedera. 

Menurut jurucakapnya, Lt Jen Sansern Kaewkamnerd, pihak berkuasa keselamatan telah pun mula memburu pelaku yang bertanggungjawab terhadap keganasan itu, dan yakin mereka akan ditahan tidak lama lagi.

"Kerajaan mahu rakyat rasa yakin kepada pegawai-pegawai yang menjalankan tugas mereka. Jangan panik kerana itu (panik) adalah apa yang pemberontak mahu,"katanya pada Khamis.

Keselamatan di selatan Thailand akan ditingkatkan katanya, sambil menambah kerajaan juga menggesa rakyat di wilayah berkenaan menjadi 'mata dan telinga' kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat penting bagi memastikan keganasan dapat dibendung.

Sansern mengulas berhubung kejadian letupan bom, kes tembakan dan serangan khianat di Pattani, Narathiwat dan Songkla lewat malam tadi, oleh penyerang yang tidak dikenali.

Insiden keganasan di tiga wilayah di selatan Thailand itu menurut pegawai keselamatan, menyaksikan sekurang-kurangnya 13 kejadian letupan bom, lima kes tembakan serta lima serangan khianat.

Selain tiga yang maut dan enam cedera, keganasan yang berlaku hampir serentak bermula 9.30 malam itu menyebabkan sebuah stesen minyak dan sebuah pusat pameran kereta dibakar, tiang elektrik ditumbangkan, dan premis menempatkan Mesin Pengeluaran Wang (ATM) musnah dengan letupan bom yang kuat.

Dua yang maut adalah pengawal keselamatan pusat pameran kereta berkenaan,manakala seorang lagi mangsa yang terbunuh ialah anggota tentera yang ditembak mati ketika sedang berkawal di Mueang, Pattani.          

Menurut Sansern, Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha telah mengarahkan pihak berkuasa untuk memberi bantuan kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan keganasan itu, dan menjaga kebajikan mereka.

"Perdana Menteri mengarahkan pegawai-pegawai untuk memulihkan keyakinan orang ramai dan mengelak sebarang impak negatif yang boleh memberi kesan kepada ekonomi dan punca pendapatan penduduk setempat," katanya. -Bernama

Selatan Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain