suria

Kanak-Kanak Antara 284 Mangsa Korban Militan Daesh

GAMBAR fail tidak bertarikh menunjukkan militan Daesh menembak mati penduduk awam Iraq. - AGENSI

BAGHDAD: Militan Daesh dipercayai membunuh kira-kira 284 orang lelaki termasuk kanak-kanak ketika tentera pakatan semakin hampir menawan semula bandar Mosul.

Sumber perisikan Iraq memaklumkan kepada rangkain televisyen CNN, pembunuhan tersebut dibuat pada Khamis dan Jumaat lalu apabila kesemua mangsa dijadikan sebagai perisai manusia oleh militan Daesh.

Kumpulan pengganas itu juga menggunakan jentolak untuk menanam kesemua mayat di dalam sebuah kubur besar di lokasi mereka dihukum.

Sumber terbabit menjelaskan, kesemua mangsa ditembak mati termasuk sejumlah kanak-kanak.

Bagaimanapun kesahihan maklumat itu belum dapat dipastikan.

Terdahulu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan terhadap laporan yang mendakwa militan Daesh menggunakan 550 buah keluarga sebagai perisai manusia ketika pasukan Iraq dan kumpulan bersenjata Kurdish melancarkan operasi ketenteraan bagi merampas bandar Mosul.

Seramai 200 keluarga dari kampung Samalia dan 350 keluarga dari Najafia dipaksa keluar dan dibawa ke Mosul, dipercayai sebagai taktik militan Daesh menghalang penduduk awam lari menyelamatkan diri.

Dalam perkembangan lain, tentera udara Iraq menggugurkan lebih lapan juta helaian notis kepada penduduk awam untuk memberikan maklumat berdasarkan nombor yang tertera pada kertas tersebut.

Mejar Jeneral Iraq, Maan al-Saadi berkata, seramai 200 anggota Daesh dilaporkan terbunuh ketika tentera Iraq menawan semula pekan Bartella ketika 100,000 anggota tentera pakatan semakin hampir memasuki Mosul.

Daesh, Mosul

Artikel Sebelum

Artikel Lain