suria

Pentadbiran Kerajaan Thailand Terus Berfungsi Tanpa Gangguan

BANGKOK: Pentadbiran kerajaan Thailand terus berfungsi  tanpa gangguan walaupun negara berkabung atas kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej dan persiapan dijalankan bagi pengurusan jasad mendiang mengikut adat diraja.

Jurucakap Kerajaan Let Jen Sansern Kaewkamnerd berkata, ia tidak mahu kerja-kerja itu mengalami gangguan.

"Walaupun seluruh rakyat berdukacita, pentadbiran negara, serta perdagangan dan pelaburan masih beroperasi seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Jurucakap itu berkata, Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha menafikan khabar angin di media sosial bahawa kerajaan telah mengarahkan potret mendiang Raja Bhumibol diturunkan dari pejabat-pejabat kerajaan, sekolah dan tempat awam.

Beliau berkata, potret Raja perlu dipamerkan khusus untuk orang ramai memberi penghormatan tetapi, bendera dengan lambang diraja untuk istiadat ketika mendiang masih hidup harus diturunkan.

Sansern meminta orang ramai mendapatkan maklumat daripada kerajaan dan bukan daripada saluran lain.

Sementara itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Suwappan Tanyuwattana berkata, jumlah rakyat Thai yang membanjiri Istana Besar untuk memberi penghormatan kepada mendiang Raja Bhumibol dijangka meningkat minggu depan.

Beliau berkata jumlah yang meningkat itu ialah kerana hujung minggu dan menambah jumlahnya mungkin boleh mencecah 200,000 sehari kerana rakyat Thailand mengambil kesempatan daripada cuti umum yang panjang untuk mengunjungi Istana Besar.

Rakyat Thailand akan menyambut Hari Raja Chulalongkorn untuk memperingati kemangkatan baginda pada 23 Oktober.

Beliau berkata, orang ramai juga akan dibenarkan memberi penghormatan di hadapan tempat menyimpan abu mayat mendiang pada 28 Oktober apabila jumlah pelawat dijangka meningkat beberapa kali ganda.

Raja Bhumibol Adulyadej, 88, mangkat Khamis lepas selepas menduduki takhta selama 70 tahun. - BERNAMA


Artikel Sebelum

"Saya tidak mahu ayah mati"

Artikel Berikut

Artikel Lain