suria

Duduk Sebelah Penumpang Obes, Peguam Saman Emirates

MILAN: Seorang peguam di Itali wajar dilabel sebagai golongan diskriminasi apabila sanggup menyaman syarikat penerbangan Emirates dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) gara-gara tidak berpuas hati ditempatkan duduk bersebelahan dengan seorang penumbang obesiti.

Menurut laporan akhbar tempatan Mattino Padova, saman itu dikemukakan oleh Giorgio Destro dari Padua, utara Itali dengan dakwaan penerbangannya selama sembilan jam dari Cape Town, Afrika ke Dubai terganggu disebabkan saiz badan penumpang disebelahnya.

Berdasarkan laporan itu, Destro dipercayai merupakan penumpang setia penerbangan tersebut tetapi Emirates tidak membenarkan dia menukar tempat duduk atau memohon maaf berhubung kejadian itu.

Destro turut mengambil gambar situasi yang dialaminya sebagai bukti dan menuntut ganti rugi sebanyak 2,759 euro (RM12,711) daripada Emirates.

"Selama sembilan jam, saya terpaksa berdiri di laluan antara kerusi dan duduk di tempat krew kabin apabila kosong.

"Ternyata penerbangan itu terjejas akibat penumpang di sebelah saya," katanya.

Emirates dalam kenyataannya enggan mengulas kes tersebut yang kini telah dibawa ke mahkamah.

Sesi pendengaran kes dijadualkan berlangsung pada 20 Oktober ini di Padua.

Peguam, Emirates

Artikel Sebelum

Artikel Lain