suria

40 Peratus Penduduk Somalia Kebuluran

SEORANG remaja perempuan Somalia memasak di luar khemah di kem pelarian dekat Mogadishu pada 20 September 2016. - AFP

MOGADISHU: Krisis kebuluran di Somalia berada pada tahap yang membimbangkan apabila laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan empat daripada 10 penduduk Somalia atau 40 peratus daripada populasi negara itu tidak mendapat sumber makanan yang mencukupi.

Jumlah penduduk yang terjejas akibat kekurangan makanan meningkat sebanyak 300,000 orang sejak Februari lalu, sekali gus mencatatkan jumlah keseluruhan lima juta orang yang dihimpit masalah kebuluran.

Pada 2011, majoriti daripada 260,000 penduduk yang maut akibat kebuluran, merupakan dari golongan kanak-kanak.

Lebih daripada 300,000 kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Somalia berdepan masalah kekurangan zat, manakala lebih daripada 50,000 pula kes melibatkan tahap yang lebih serius.

Krisis tersebut diburukkan lagi dengan konflik berterusan antara kumpulan militan al-Shabab dan tentera kerajaan yang dibantu Kesatuan Afrika.

“Situasi ini merupakan kebimbangan yang serius dan berlaku ketika kita sudah berdepan pelbagai masalah termasuk musim kemarau dan risiko banjir, konflik senjata selain jumlah pelarian yang semakin bertambah," jelas PBB menerusi satu kenyataan, Selasa.

Tahun ini sahaja, berpuluh-puluh ribu pelarian kembali ke Somalia dari kem terbesar di dunia yang terletak di Dadaab di Kenya memandangakan kerajaan negara itu merancang menutup kawasan tersebut pada November.

Kenya mendakwa kem Dadaab, yang dihuni lebih 300,000 pelarian, kebanyakannya dari Somalia, telah menjadi kubu kuat militan al-Shabab untuk melancarkan serangan di negara tersebut.

Somalia, Kebuluran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Speaker DPD Indonesia Dipecat

Artikel Lain