suria

Pyongyang Terus Berdegil Lancar Ujian Nuklear

PYONGYANG: Korea Utara terus mengugat keamanan dunia apabila menjalankan ujian nuklear kelima pada Jumaat walaupun tindakan itu bakal mengundang kecaman antarabangsa.

Pyongyang dalam pengumumannya mengesahkan ujian tersebut beberapa jam selepas satu gempa bumi sederhana dikesan berdekatan tapak nuklear Punggye-ri.

Susulan ujian terbaharu Pyongyang itu, Korea Selatan menyuarakan kebimbangan terhadap keupayaan yang dicapai oleh musuhnya itu dalam sistem persenjataan nuklear.

Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye menggelar tindakan Pyongyang sebagai "kemusnahan yang disengajakan" selain menunjukkan kegilaan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Malah tentera Korea Selatan mendakwa percaya bahawa ujian nuklear kali ini lebih kuat berbanding ujian pada Januari lalu.

Penganalisis ketentereaan turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemajuan yang dicapai oleh Korea Utara untuk melancarkan senjata nuklear.

Sekutu Seoul, Amerika Syarikat (AS) memberi amaran bahawa Korea Utara bakal menerima balasan yang setimpal akibat kedegilan melakukan ujian nuklear.

Dalam perkembangan sama, sekutu Pyongyang, China memaklumkan bahawa Beijing menentang keras ujian berkenaan dan meminta Korea Utara agar tidak melakukan sebarang tindakan lanjut yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Pyongyang dalam kenyataannya berkata, ujian itu melibatkan peledak nuklear yang baru dibangunkan dan memiliki kemampuan untuk dipasang pada peluru berpandu balistik.

Korea Utara sebelum ini dikenakan sekatan yang lebih ketat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana melakukan ujian keempat pada awal tahun ini

Pertubuhan dunia itu dijangka mengetatkan lagi sekatan termasuk melibatkan sektor eksport minyak ke Korea Utara walaupun tindakan tersebut bakal memberi kesan kepada rakyat negara itu. - AFP


Korea Utara, Nuklear

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bayi Terkecil Dunia Lakar Keajaiban

Artikel Lain