suria

Saintis Cipta Kotak Hitam Untuk Bangunan

LONDON: Dengan anggaran 50 gempa bumi yang berlaku di seluruh dunia pada setiap hari, tahap keselamatan bangunan yang terletak di kawasan berisiko tinggi menjadi perhatian penting.

Kini, bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku dan mengurangkan risiko kematian, saintis membangunkan perakam kotak hitam bagi mengesan tahap keselamatan bangunan jika berlaku bencana gempa bumi, letupan atau kebakaran.

Perakam yang dilengkapi alat pengesan itu boleh memberi maklumat kepada pasukan kecemasan sama ada bangunan terbabit selamat untuk dimasuki selepas berlakunya bencana alam atau serangan pengganas.


Malah peralatan khas itu juga boleh memberi laporan lanjut tentang keutuhan bangunan tersebut untuk digunakan semula selepas operasi menyelamat berakhir.

Projek tersebut dikenali sebagai RECONASS yang diketuai oleh kerajaan, syarikat perniagaan dan universiti di Jerman, Britain, Sweden, Belanda, Greece dan Itali.

Kerjasama itu melibatkan pembangunan kotak hitam yang mampu memberi maklumat tepat terhadap keselamatan struktur bangunan selepas bencana berlaku.

Pengarah Kumpulan Saintis Kejuruteraan Analisis Simulasi dan Tribologi Universiti Anglia Ruskin, Profesor Hassan Shirvani berkata, sistem yang digunakan sama seperti kotak hitam yang terdapat dalam pesawat.


"Sistem ini dicipta dengan daya ketahanan yang tinggi dan mampu menyalurkan maklumat secara berterusan dalam apa jua keadaan.

"Alat ini mempunyai dua peringkat iaitu pertamanya menyalurkan maklumat keselamatan bangunan ketika bencana sedang berlaku.

"Peringkat kedua merupakan paling penting iaitu mengukur tahap keutuhan struktur sama ada perlu diubahsuai atau dimusnahkan," katanya seperti dilaporkan portal Mail Online.

Bagaimanapun beliau menyatakan peralatan itu masih di peringkat ujian dan sekiranya berjaya, kotak hitam tersebut akan dipasang pada bangunan yang penting seperti hospital, sekolah, bangunan kerajaan, lapangan terbang dan jambatan.

Berita asal: http://www.dailymail.co.uk/sciencetech/article-3779953/The-black-box-BUILDINGS-Recorder-reveals-structure-safe-earthquakes-terrorist-attack.html






Kotak Hitam

Artikel Sebelum

Bayi Terkecil Dunia Lakar Keajaiban

Artikel Berikut

Artikel Lain