suria

Christoph Mueller Sertai Emirates Pada September

DUBAI: Christoph Mueller yang sebelum ini melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Malaysia Airlines Bhd bakal menyertai syarikat penerbangan Emirates untuk memegang jawatan yang baharu diwujudkan.


Jawatan itu akan menyaksikan beliau memainkan peranan penting dalam pengurusan syarikat penerbangan terbesar lalu lintas antarabangsa itu.

Lelaki dari Jerman itu yang sebelum ini pernah bersama syarikat penerbangan Ireland, Aer Lingus dan bekas syarikat penerbangan Belgium, Sabena, akan mula berkhidmat pada 20 September sebagai Ketua Pegawai Digital dan Inovasi, menurut Emirates sebagai tindak balas kepada soalan-soalan daripada Bloomberg News.

Emirates telah berkembang menjadi syarikat penerbangan jarak jauh nombor 1 di dunia selepas mengeksploitasi kedudukan Dubai sebagai persimpangan antara Eropah dan Amerika serta Asia, Timur Tengah dan Afrika dalam aliran masuk trafik yang menguntungkan.

Pada masa yang sama jualan tahunan telah jatuh buat kali pertama dalam tempoh satu dekad tahun ini sehingga Mac akibat penurunan harga minyak dan syarikat penerbangan itu berusaha untuk mencari laluan antara benua baharu.

Presiden syarikat penerbangan itu Tim Clark, 66, juga telah mendapat tentangan terhadap perkembangan Emirates di Eropah dan Amerika Syarikat di mana syarikat penerbangan saingan berkata syarikat itu telah mendapat manfaat daripada dana negeri secara tidak adil.

Mueller, yang akan mencecah usia 55 pada Disember ini telah diupah oleh syarikat penerbangan Malaysia pada Mac 2015 selepas reputasi dan jualannya jatuh akibat nahas pesawat pada tahun sebelumnya, melibatkan sebuah pesawat hilang di Lautan Hindi dan serangan peluru berpandu di atas zon perang Ukraine.

Strategi beliau bagi menghentikan kerugian adalah membuat penyusunan semula Kuala Lumpur sebagai hab pelancongan Asia, bukannya global dan memotong 6,000 pekerjaan serta mengecilkan kapasiti sebanyak hampir satu pertiga.

Walaupun berjaya, Mueller pada April mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan Malaysia atas sebab peribadi.

Beliau bersetuju untuk berkhidmat selepas tempoh notis enam bulan yang akan berakhir bulan ini, namun syarikat penerbangan itu telah mengumumkan pelantikan Peter Bellew menjadi Ketua Pegawai Operasi sebagai penggantinya pada akhir bulan Jun.

Ketika bersama Aer Lingus, Mueller memperkemaskan operasi jarak dekat, menyelesaikan pertikaian pencen dan melakukan beberapa transformasi lain. -Bloomberg
MAS, Christoph Mueller, Emirates

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain