suria

14 Maut, 67 Cedera Dalam Letupan Pasar Malam Di Davao

-fotoREUTERS
DAVAO (Filipina): Sekitar 14 orang terbunuh dan 67 yang lain cedera selepas satu letupan, berkemungkinan daripada bahan peranti letupan (IED) menggegarkan pasar malam sesak di Roxas Boulevard di sini pada Jumaat, menurut polis tempatan awal pagi Sabtu.

Dalam satu temu bual radio, Setiausaha Komunikasi Presiden, Martin Andanar berkata berdasarkan maklumat awal daripada pakar-pakar bahan letupan, serpihan daripada mortar telah ditemui.


Beliau berkata Presiden Rodrigo Duterte telah mempengerusikan mesyuarat mengenai bagaimana untuk memastikan Davao berada dalam keadaan selamat.

The Inquirer melihat sekurang-kurangnya dua mayat bergelimpangan di atas jalan.

Kira-kira tengah malam Jumaat, Naib Datuk Bandar Paolo Duterte mengeluarkan kenyataan mengesahkan jumlah kematian dan puluhan orang mengalami kecederaan serta meyakinkan orang ramai bahawa 'pihak berkuasa sentiasa memberi perhatian terhadap kejadian ini'.


Tetapi beliau juga berkata, masih terlalu awal untuk menentukan siapa dalang di sebalik serangan.

Kumpulan pengganas Abu Sayyaf baru-baru ini telah berikrar untuk menghukum pentadbiran Duterte yang melancarkan serangan besar-besaran terhadap kumpulan mereka.

Beratus-ratus orang berada di pasar malam itu yang menjual makanan jalanan, perkhidmatan urut dan dipenuhi deretan kedai.

Letupan itu berlaku kira-kira 100 meter dari Universiti Ateneo de Davao. Akaun Twitter rasmi universiti itu melaporkan bahawa kampus itu sedang dikunci.

"Bagi pelajar-pelajar di kampus, universiti telah dikunci untuk memastikan keselamatan anda. Sila tunggu kemas kini selanjutnya."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain