suria

Pasangan Polis India Dilarang Daki Gunung Di Nepal

Pasangan polis India dilarang mendaki mana-mana gunung di Nepal selama 10 tahun kerana tindakan memalsukan gambar di puncak Gunung Everest.

KATHMANDU: Pasangan anggota polis India yang memalsukan gambar kononnya berada di puncak Gunung Everest telah dikenakan larangan mendaki selama 10 tahun.

Keputusan tegas itu dibuat kerajaan Nepal selepas menyiasat dakwaan suami isteri pasukan keselamatan dari negara jiran itu.

Pada mulanya, Jabatan Pelancongan Nepal mengesahkan dakwaan pasangan itu, tetapi kemudian telah bertindak melakukan siasatan.

"Hasil siasatan mendapati pasangan itu memalsukan pendakian mereka. Kami mengenakan larangan 10 tahun terhadap mereka, daripada mendaki mana-mana gunung di Nepal," kata ketua jabatan pelancongan Sudarshan Prasad Dhakal kepada AFP.

Sebelum ini, Dinesh dan Tarakeshwari Rathod mengaku mereka sampai ke kemuncak gunung tertinggi dunia itu pada 23 Mei lalu.

Bagaimanapun, rakan pendaki meragui dakwaan mereka dengan mengatakan gambar yang diambil telah diubahsuai. - AFP


Gunung Everest, Nepal, India

Artikel Lain