suria

Michelle Obama Bangga AS Bakal Pilih Presiden Wanita

MADRID: Susulan kesediaan Barack Obama berkempen bersama calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton minggu depan mencetuskan spekulasi negara itu buat pertama kali bakal diterajui pemimpin wanita.

Tanggapan itu diperkukuhkan lagi apabila Wanita Pertama AS, Michelle Obama secara terbuka berkata, beliau bangga dengan kemungkinan wanita dipilih menjadi Presiden AS tahun ini.

“Dengan bangganya saya ingin menyatakan tahun ini, buat pertama kalinya dalam sejarah, kita mungkin memilih Presiden wanita AS,” katanya tanpa menyatakan nama calon parti Demokratik itu.

Michelle berkata demikian semasa berucap mempromosi inisiatif pendidikan Let Girls Learn bagi membantu golongan remaja perempuan seluruh dunia mendapat akses kualiti pendidikan.

Kenyataan itu dibuat selepas Obama sedia berkempen bersama Clinton buat pertama kalinya di Carolina Utara yang juga antara negeri yang menjadi medan pertempuran pilihan raya November depan.

Michelle yang ditemani kedua-dua anak perempuannya, Malia dan Sasha serta ibunya, Marian Robinson tiba ke ibu negara Sepanyol malam Rabu lepas dari Maghribi.

Dalam ucapannya, Michelle menyatakan 62 juta gadis di seluruh dunia tidak dapat mengembangkan potensi diri mereka kerana tidak berpeluang untuk bersekolah.

“Bayangkan, jika ada orang memberitahu ketika berusia 10 atau 12 tahun, anda perlu menamatkan persekolahan, lupakan semua impian dan perlu berkahwin lelaki dua kali ganda lebih tua,” tambah Michelle. – AFP



Artikel Lain