suria

Aniaya Kanak-Kanak, Warga AS Dihukum Penjara 10 Tahun

Brian Naswall.

PHNOM PENH: Sebuah mahkamah di Kemboja pada Selasa menjatuhi hukuman penjara selama sedekad terhadap seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) kerana melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak perempuan seawal usia lima tahun.

Hukuman tersebut dianggap sebagai satu usaha untuk menghukum pesalah pedofil warga asing di negara miskin itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aero Cambodia Airline, Brian Naswall, 53, ditahan pada tahun lalu selepas didakwa menganiayai tiga gadis bawah umur.

Aero Cambodia Airline merupakan syarikat penerbangan kecil yang berpangkalan di Phnom Penh.

Sejak ditahan, sejumlah kira-kira sembilan mangsa mendakwa menjadi mangsa serangan seksual Naswall.

Naswall menafikan tuduhan semasa perbicaraan dilakukan dan mendakwa kes itu telah dipalsukan.

Namun mahkamah perbandaran Phnom Penh pada Selasa mendapati warga AS itu terlibat dalam pelacuran kanak-kanak dan dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun.

Mahkamah itu turut mengarahkan Naswall untuk membayar $16,000 sebagai ganti rugi yang akan dibahagikan antara lapan mangsa.

Pengarah Action Pour Les Enfants (APLE), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memburu suspek pedofil warga asing di Kemboja menggesa agar Naswall di hantar pulang selepas menjalani hukumannya.

"Kami menyambut baik hukuman itu. Ia munasabah dan boleh diterima," kata Pengarah APLE, Seila Samleang.

pedofil, Kemboja, Brian Naswall

Artikel Lain