suria

Singapura Perlu Lebih Ramai Bayi

SINGAPURA: Tahun lepas Singapura mencatat kelahiran sekurang-kurangnya 33,793 bayi, tertinggi dalam tempoh 13 tahun.

Angka ini mengatasi jumlah 33,238 kelahiran pada tahun 2012, iaitu Tahun Naga.

Angka ini bagaimanapun tidak memadai. Singapura yang merayakan Jubli Emas tahun lalu memerlukan lebih ramai bayi!

Poster yang menggalakkan rakyat Singapura terutamanya pasangan muda supaya mempunyai lebih ramai anak boleh dilihat, antaranya di tingkap kereta api MRT.

Iklan seperti ini disebarkan secara meluas di Republik ini sejak bulan Februari lepas.

Ia sebahagian daripada kempen kesuburan yang dikendalikan oleh ilovechildren (ILC), pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 2005 bertujuan menggalakkan pasangan supaya segera mempunyai anak.

Meskipun kempen itu yang antaranya memaparkan ilustrasi kartun sperma dan ovum dicemuh oleh sesetengah pihak, ILC tegas menyatakan "apa yang dipaparkan adalah fakta dan berharap untuk menggalakkan rakyat Singapura segera mempunyai anak. Kempen itu juga memberi kesedaran risiko jika mengandung lewat.

"Usaha ILC ini adalah selari dengan harapan kerajaan Singapura sejak 30 tahun untuk melihat lebih ramai bayi dilahirkan sehinggakan sanggup memberi ganjaran."

Perdana Menteri Lee Hsien Loong sendiri terus yakin rakyat Singapura akan terus mempunyai lebih ramai anak ketika negara itu terus membangun.

Kerajaan pimpinan beliau mengumumkan pelbagai insentif baru untuk anak-anak dalam Belanjawan 2016.

Kerajaan Singapura akan memperkenalkan Akaun Pembangunan Kanak-kanak (CDA) yang baru, bantuan kewangan Langkah Pertama untuk semua kanak-kanak Singapura.

Ibu bapa secara automatik akan menerima S$3,000 dalam CDA anak mereka yang mereka boleh gunakan untuk keperluan penjagaan kesihatan dan khidmat penjagaan anak.

Ibu bapa yang menyimpan wang ini akan terus menerima satu dolar bagi setiap satu dolar yang disimpan.

Contohnya, sekiranya mereka meletakkan S$3,000 (RM9,000) ke dalam CDA anak pertama atau kedua, mereka akan menerima tambahan $3,000, menjadikan jumlah bantuan kewangan CDA kerajaan kepada S$6,000 (RM18,000), menjadikan jumlah dalam akaun kepada S$9,000 (RM27,000).

Keadaan yang sama juga untuk anak ketiga dan anak yang berikutnya yang turut menerima bantuan kewangan Langkah Pertama CDA.

Kerajaan Singapura juga akan memperkenalkan inisiatif baru untuk pembangunan kanak-kanak dikenali sebagai KidSTART, bagi tempoh enam tahun pertama usia mereka.

Menurut kerajaan, penyelidikan meluas mendapati pengalaman kanak-kanak pada awal usia mereka mempunyai pengaruh besar ke atas pembangunan fizikal, kognitif dan sosial anak-anak itu.

Kerajaan Singapura juga dilaporkan terus meningkatkan program pembangunan kanak-kanak di peringkat pra-sekolah dan sekolah rendah.

Bagaimanapun, kerajaan mendapati terdapat sekumpulan kecil ibu bapa yang mungkin memerlukan bantuan lebih untuk memberikan permulaan kehidupan yang baik untuk anak mereka.

KidSTART akan menarik sumber kerjaaan serta komuniti bagi membantu anak-anak ini untuk membolehkan mereka menerima sokongan pembelajaran, pembangunan serta kesihatan.

Kira-kira 1,000 kanak-kanak dijangka mendapat faedah daripada program perintis ini. Kerajaan Singapura dijangka membelanjakan lebih S$20 juta (RM60 million) untuk program ini.

Mempunyai anak adalah "sebahagian daripada kehidupan berkeluarga yang bahagia," Lee dipetik sebagai berkata.

Sejak tiga dekad lepas Singapura berusaha keras untuk menggalakkan rakyatnya mempunyai lebih ramai anak dengan menawarkan, antara lain, rebat cukai, bonus bayi, keutamaan mendapat flet HDB yang lebih besar serta subsidi di pusat penjagaan kanak-kanak tertentu.

Di samping itu, Kerajaan Singpura juga akan memberi lebih banyak bantuan kepada keluarga yang mempunyai anak dan tinggal di rumah sewa.

Pada Perhimpunan Hari Kebangsaan tahun lepas, Perdana Menteri Lee menyebut mengenai Skim Perumahan Permulaan Baru.

Terdapat keluarga yang sebelum itu membeli flet tetapi menjualnya dan kini tinggal menyewa di flet awam.

Keluarga ini tidak layak untuk mendapat bantuan kewangan perumahan yang diberi kepada pembeli rumah pertama kali kerana mereka sebelum itu sudah menerima subsidi.

Bagi mereka yang berazam bekerja keras untuk memiliki rumah semula, kerajaan mahu memberikan mereka permulaan baru.

Skim Perumahaan Permulaan Baru ini akan menyediakan bantuan kewangan sehingga S$35,000 (RM104,000) untuk membantu keluarga seperti itu yang mempunyai anak kecil.

Bantuan itu akan membolehkan mereka memiliki flet dua bilik dengan kadar pajakan yang lebih pendek dan yang mampu milik.

Keluarga itu bagaimanapun perlu menunjukkan usaha, sebagai contoh, dengan kekal bekerja dan memastikan anak mereka pergi ke sekolah.

Sehingga Jun 2015, jumlah penduduk Singapura ialah 3.9 juta orang. 

Artikel Lain