suria

Pemimpin Taliban Mungkin Terbunuh Dalam Serangan Pesawat Dron AS

Mullah Akhtar Mansour. -fotoAFP
WASHINGTON: Pemimpin Taliban Mullah Akhtar Mansour telah disasarkan dan 'mungkin terbunuh' pada Sabtu dalam satu serangan pesawat dron Amerika Syarikat (AS) di kawasan terpencil Pakistan di sepanjang sempadan Afghanistan, kata seorang pegawai AS.

Serangan udara itu, yang diberi kuasa oleh Presiden Barack Obama juga membunuh seorang lagi pejuang lelaki ketika kedua-dua mereka menaiki kenderaan di barat daya bandar Ahmad Wal, tetapi tiada orang awam terbunuh, kata pegawai itu tetapi tidak mahu namanya disiarkan.

"Mansour adalah sasaran dan dilaporkan terbunuh dalam serangan yang telah dijalankan oleh pelbagai pesawat tanpa pemandu yang dikendalikan oleh Pasukan Operasi Khas AS sekitar jam 6 pagi (6 petang waktu Malaysia)," kata pegawai itu.

Jurucakap Pentagon Peter Cook dalam satu kenyataan berkata Mansour 'telah menjadi pemimpin Taliban dan secara aktif terlibat merancang serangan terhadap kemudahan di Kabul dan di seluruh Afghanistan, mengancam orang awam Afghanistan dan pasukan keselamatan, serta sekutu dan kakitangan kami.'

Mansour telah dilantik sebagai ketua Taliban pada Julai 2015 berikutan pendedahan bahawa pengasas kumpulan itu Mullah Omar telah mati selama dua tahun.

"Sejak kematian Mullah Omar dan andaian kepimpinan Mansur, Taliban telah menjalankan banyak serangan yang mengakibatkan kematian beribu-ribu orang awam Afghanistan dan pasukan keselamatan Afghanistan serta ramai kakitangan AS dan sekutunya," kata Cook.

Para pegawai masih menilai keputusan dan akan memberikan lebih maklumat sekiranya ada, katanya.

Artikel Lain