suria

Brazil Tamatkan Era Kerajaan Berhaluan Kiri

BRASILIA: Brazil memasuki era baharu apabila pemerintahan 13 tahun kerajaan berhaluan kiri ditamatkan apabila pemangku Presiden, Michel Temer mengambil alih kuasa Presiden Dilma Rousseff yang khidmatnya digantung.

Naib Presiden berhaluan kanan berusia 75 tahun itu berjanji akan menubuhkan sebuah kerajaan yang mesra perniagaan.

Temer berkata, beliau akan memulihkan kredibiliti Brazil selepas negara itu dihimpit krisis ekonomi dan politik sejak beberapa bulan lalu.

Beliau melantik bekas gabenor Bank Pusat Brazil, Henrique Meirelles sebagai Menteri Kewangan yang berdepan tugas berat memulihkan ekonomi Brazil daripada kegawatan.

“Kita perlu memperbaiki persekitaran perniagaan untuk sektor swasta,” katanya di Istana Presiden selepas mengambil alih pentadbiran negara itu.

Beliau menawarkan perdamaian dan berjanji akan meneruskan program sosial anjuran Parti Perkerja yang dipimpin Rousseff bagi membantu jutaan penduduk miskin.

Pemangku presiden itu bagaimanapun dikritik kerana melantik jemaah Kabinet yang hanya dianggotai lelaki kulit putih dan bercanggah daripada prinsip serta pencapaian Rousseff sebagai Presiden wanita pertama Brazil.

Malahan, penduduk yang menyokong pemerintahan Rousseff turut mengadakan demonstrasi bagi membantah pelantikan Temer.

Dalam pada itu, Rousseff menggunakan saat akhirnya di istana Presiden untuk mengutuk ‘rampasan kuasa’ itu dan menggesa penyokongnya supaya bergerak dan bertindak.

Beliau berdepan perbicaraan pemecatan yang dijangka berlanjutan selama beberapa bulan termasuk semasa temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Ogos ini.

Beberapa jam sebelum itu, perbahasan hampir 22 jam di Dewan Senat berakhir dengan 55-22 undi menyokong usul penggantungan Rousseff selama enam bulan. – AFP







Brazil, Michel Temer, Dilma Rousseff

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain