suria

Lagi Banduan Dadah Penjara Indonesia Bakal Dihukum Tembak

BANDUAN wanita warga Filipina di penjara Wirogunan, Yogjakarta besar kemungkinan tersenarai antara yang akan menjalani hukuman mati bersama beberapa pesalah dadah lain, demikian menurut polis Indonesia pada Rabu.

Hukuman ditembak mati pasukan keselamatan negara itu bakal diadakan dalam masa terdekat, hampir setahun selepas tindakan sama dilaksanakan terhadap banduan asing yang mendapat kritikan ramai.

Presiden Joko Widodo bagaimanapun bertegas untuk meneruskan hukuman sedemikian di penjara di Pulau Nusakambangan, walaupun tindakan itu dikritik hebat kerajaan asing.

"Persiapan untuk menjalankan hukuman itu sedang dilakukan, kali ini mungkin lebih ramai banduan terlibat.

"Malahan, anggota pasukan menembak juga telah menjalani latihan serta mengikuti sesi kaunseling," kata jurucakap polis daerah Jawa Tengah, Aloysius Lilik Darmanto.

Bagaimanapun, beliau enggan memaklumkan jumlah sebenar banduan yang akan menjalani hukuman itu, atau apakah akan ada warga asing yang akan tersenarai kali ini.

Difahamkan, warga Perancis, Britain dan Filipina adalah antara banduan asing yang akan menjalani hukuman kali ini.

Pada April tahun lalu, pihak berkuasa menghukum mati lapan penyeludup dadah termasuk tujuh warga asing.

Sebelum ini, wanita warga Britain, Lindsay Sandiford, 59 dihukum mati atas kesalahan pada 2013 kerana menyeludup kokain bernilai AS$2.5 juta (RM10juta) ke Indonesia.

Pembantu rumah Filipina, Mary Jane Veloso pula mendapat penangguhan hukuman tahun lalu susulan permohonan Manila selepas ejen pekerjaan yang didakwa meletakkan dadah dalam bagasinya menyerah diri di negara kelahirannya.

Peguamnya berharap anak guamnya tidak akan tersenarai antara banduan yang akan dihukum mati.

"Hukuman ke atas Mary Jane sepatutnya ditangguhkan kerana dia masih menunggu proses perundangan di Filipina," kata Agus Salim.

Peguam kepada Serge Atlaoui, warga Perancis pula berkata, pihak berkuasa tidak menghubungi kedutaan negara anak guamnya  untuk memaklumkan mengenai hukuman itu.

Setakat ini, seramai 14 banduan melibatkan kesalahan dadah telah dihukum mati dengan majoritinya adalah warga asing.



Artikel Lain