suria

Egypt Air: Perampas Pesawat Mahu Jumpa Kekasih Lama

LARNACA: Pegawai kerajaan mendedahkan perampas yang merampas pesawat Egypt Air menuntut untuk bertemu seorang wanita iaitu bekas kekasih lamanya yang tinggal di sebuah kepulauan di Cyprus.

Malah, insiden rampasan pesawat itu tiada kaitan dengan aktiviti keganasan.

Pesawat tersebut mendarat di lapangan terbang Larnaca pada pukul 8.50 pagi waktu tempatan selepas perampas menghubungi menara kawalan 20 minit sebelum itu untuk memohon pesawat dilencongkan.

Jabatan Penerbangan Awan Egypt berkata lelaki tersebut mengancam untuk meletupkan pesawat jenis Airbus A-320 itu.

Kebanyakan penumpang dibenarkan turun sebaik sahaja pesawat mendarat.

Menteri Penerbangan Mesir, Sherif Fathy dalam satu sidang media memberitahu juruterbang, pembantu juruterbang dan seorang pramugari dan seorang pengawal keselamatan kekal di dalam pesawat bersama-sama dengan tiga penumpang lain.

Sebelum itu, Egypt Air berkata rundingan dengan perampas menyebabkan pembebasan kesemua penumpang kecuali kru dan empat warga asing.

Pesawat itu membawa 21 warga asing termasuk lapan rakyat Amerika, empat Belanda, empat Britain dan seorang Perancis.

Fathy berkata terdapat 55 penumpang di dalam pesawat dan perampas menuntut ia mendarat sama ada di Turki atau Cyprus.

"Dia tidak membawa apa-apa bersama. Kami masih belum tahu sama ada bahan letupan yang ada bersamanya itu tulen namun atas faktor keselamatan penumpang kami menganggap ia sebagai tulen," kata Fathy.

Presiden Cyprus, Nicos Anastasiades memberitahu pemberita bahawa insiden itu berlaku atas sebab peribadi.

"Rampasan pesawat itu tiada kaitan dengan keganasan," katanya.



Egypt Air, rampasan pesawat

Artikel Lain