suria

Trump Dianggap Ancaman Global, Umpama Militan

LONDON: Badan Penyelidik Britain menyifatkan calon Parti Republikan, Donald Trump sebagai ancaman global yang setara kumpulan militan jika memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat.

Unit Risikan Pakar Ekonomi (EIU) itu berpendapat, pemilihan Trump itu boleh mengancam ekonomi dunia, sama seperti keganasan yang dibawa kumpulan militan.

Menerusi laporan terbaharu risiko global, EIU meletakkan kemenangan calon utama Republikan itu pada kedudukan ke-12 indeksnya.

Bagaimanapun, kemelesetan ekonomi China yang mendapat penarafan 20 adalah ancaman paling utama.

Kesimpulan yang dibuat EIU berkaitan Trump susulan dasarnya yang menyisihkan China dan komennya tentang keganasan kumpulan militan Islam.

“Usul Trump untuk menyekat umat Islam memasuki AS menjadi alasan kukuh untuk kumpulan-kumpulan militan merekrut ahli baharu,” kata EIU.

Badan berkenaan turut menyebut mengenai kemungkinan perang perdagangan berlaku sekiranya Trump memimpin AS, manakala mendapati dasar jutawan itu yang tidak konsisten.

“Beliau benci perdagangan bebas termasuk terutamanya Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta) dan berulang kali melabelkan China sebagai pemanipulasi mata wang.

“Trump mendukung pendirian keras berhubung isu Asia Barat dan keganasan kumpulan Islam, selain menyokong untuk membunuh keluarga pengganas dan melancarkan serangan darat di Syria bagi menghapuskan kumpulan Negara Islam (IS) serta merampas telaga minyak IS,” kata EIU.

Selain Trump, ancaman global lain yang dinyatakan oleh EIU termasuk pertempuran di Laut China Selatan, kemungkinan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah dan krisis hutang dalam pasaran. – AFP








Donald Trump, EIU, IS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain