suria

Trump Mahu Rakyat AS Boikot Apple

CHARLESTON: Selepas kenyataan kontroversi berkaitan anti Islam, kini pendahulu calon Presiden Parti Republikan, Donald Trump menggesa rakyat Amerika Syarikat (AS) supaya memboikot syarikat Apple.

Permintaan itu katanya perlu dilakukan sehingga syarikat komputer itu mematuhi arahan kerajaan supaya membuka kod keselamatan iPhone milik seorang suspek serangan di San Bernardino.

“Apple menolak untuk mendedahkan kod keselamatan telefon itu. Apa yang saya fikir kamu perlu lakukan adalah memboikot Apple sehingga mereka memberi nombor keselamatan itu. Saya baru memikirkannya. Boikot Apple,” kata Trump.

Beliau berkata demikian semasa berkempen di Pulau Pawleys, Carolina Selatan, sehari sebelum negeri itu mengadakan pilihan raya Parti Republikan.

Kerajaan AS sebelum itu memohon perintah mahkamah bagi memaksa Apple untuk membantu membuka kod kunci keselamatan iPhone sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung serangan di San Bernardino tahun lalu.

Apple bagaimanapun berikrar untuk melawan perintah majistret supaya membantu membuka kod kunci keselamatan telefon yang digunakan oleh salah seorang penembak.

“Pertama sekali, iPhone itu tidak dimiliki oleh pemuda yang membunuh semua mangsa. Telefon itu dimiliki oleh kerajaan sekarang,” kata Trump.

Suspek, Syed Farook terbunuh dalam pertempuran dengan pihak berkuasa selepas serangan itu yang mengakibatkan 14 orang maut pada Disember lalu.

Apple pula mendakwa, arahan mahkamah supaya bekerjasama dengan FBI akan menjejaskan keselamatan keseluruhan peranti keluaran syarikat itu.– AFP



Donald Trump, AS, Apple

Artikel Sebelum

Ubi Kentang Marikh

Artikel Lain