suria

Indonesia Penjara Tujuh Suspek Militan

Suspek militan yang dikenakan hukuman penjara kerana didakwa terlibat dalam kegiatan kumpulan Daesh.

JAKARTA: Tujuh lelaki dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun kerana yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas Daesh.

Ketua Hakim, Syahlan dalam penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira tindakan mereka yang menjalani latihan di kem tentera di Syria.

Selain itu, katanya, suspek juga telah menyebarkan ideologi ekstremis dan memungut derma untuk membiayai rakyat negara itu ke Asia Barat bagi menyertai kumpulan itu.

“Apa yang terbukti ialah tertuduh berhasrat bersekongkol, membantu dan bersiap melakukan kegiatan yang ada kaitan dengan keganasan,” katanya.

Hukuman itu dikenakan ketika Indonesia meningkatkan kawalan keselamatan sejak serangan pengganas di bandaraya ini bulan lalu yang didakwa dilakukan kumpulan berkenaan, buat pertama kali di rantau ini.

Lapan individu, empat daripadanya penyerang, terbunuh dalam kejadian itu.

Ketika ini, kerajaan Indonesia dalam proses mengkaji undang-undang antikeganasan bagi mengekang fahaman radikal dan menghalang rakyatnya menyertai kumpulan militan.

Kajian itu termasuk mempertimbangkan untuk menambah tempoh penjara dan menahan suspek militan selama 14 hari tanpa tuduhan.
Polis antikeganasan Indonesia menahan kira-kira 50 individu sejak dua bulan lalu kerana disyaki mempunyai hubungan dengan rancangan untuk melakukan serangan di negara itu.



militan, Daesh, Syria, Jakarta

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain