suria

Roket Buatan Sendiri Jatuh Di Ruang Tamu

Gambar hiasan.

NARATHIWAT: Sebutir roket buatan sendiri jatuh di ruang tamu sebuah rumah di Kampung Gajah Mati, Bachok di sini tidak lama selepas ia dilancarkan oleh pihak tidak dikenali di wilayah bergolak selatan Thailand itu.

Ketua Polis Daerah Bachok Kolonel Polis Patta Madawa berkata kejadian itu berlaku kira-kira 12.30 tengah malam Khamis tetapi polis hanya mula melakukan siasatan pagi Jumaat.

Beliau berkata unit pemusnah bom mengambil masa 10 minit untuk memindahkan keluar roket buatan sendiri itu dari rumah berkenaan untuk dimusnahkan di sebuah padang bola sepak berhampiran.

"Roket buatan sendiri itu seberat 10kg turut diisi dengan bebola besi," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata pihak keselamatan turut menemui tapak pelancaran roket itu serta peralatannya.

Menurut Patta, pelancar roket buatan sendiri itu diperbuat daripada paip PVC dan terletak di dalam tanah digali kira-kira satu meter dari permukaan serta diaktifkan menggunakan wayar.

Polis, menurutnya, percaya pelancaran roket buatan sendiri semalam itu dilakukan pihak tertentu untuk menguji keberkesanan senjata terbabit, malangnya ia terjatuh di rumah penduduk kampung.

Penduduk kampung terbabit bernasib baik kerana roket buatan sendiri itu tidak meletup, kata beliau.

Kejadian pada Khamis itu menyusuli penemuan sebutir roket buatan sendiri pada 28 Januari di kawasan Nongchik, Pattani yang dipercayai menyasarkan Kem Ingkayuthaborihan dan lapangan terbang milik tentera di kawasan tersebut.

Pasukan keselamatan Thai percaya roket buatan sendiri bakal menjadi ancaman baharu kepada penempatan-penempatan pasukan tentera termasuk kem dan markasnya di wilayah konflik selatan negara itu.

Baru-baru ini, sebuah daripada kumpulan pembebasan di Pattani memberi amaran menerusi kenyataan bahawa mereka bakal menyerang kem-kem pasukan keselamatan Thai di selatan Thai menggunakan 'peluru berpandu' bersempena sambutan ulang tahun ke-48.

Barisan Pembebasan Pattani Bersatu juga meminta orang awam tidak mendekati kem-kem dan penempatan pasukan keselamatan Thai. - BERNAMA

roket, buatan sendiri

Artikel Lain