suria

Empat Bangunan Runtuh Susulan Gempa Bumi Kuat Landa Tainan

Pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa terperangkap dalam runtuhan itu.

TAIPEI: Sekurang-kurangnya empat bangunan runtuh termasuk sebuah pangsapuri mewah susulan gempa bumi kuat berukuran 6.4 magnitud yang menggegar bandar Tainan, selatan Taiwan, awal pagi Sabtu.

Namun tiada sebarang laporan mengenai kematian diterima akibat insiden tersebut.

Berdasarkan rakaman video dramatik menerusi stesen televisyen tempatan dan media sosial menunjukkan beberapa bangunan runtuh dan tumbang manakala sebuah lagi senget susulan gempa berkenaan.

Pasukan penyelamat turut dilihat sedang berusaha mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.

Lebih 100 penduduk yang tinggal di pangsapuri mewah itu berjaya diselamatkan.

Sebuah pangsapuri mewah senget akibat gempa bumi kuat itu.

Presiden Ma Ying-jeou dilaporkan dalam perjalanan ke Tainan, bandar yang mempunyai dua juta penduduk.

Menurut Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu melanda pada kedalaman 10 kilometer kira-kira jam 2000 GMT pada Jumaat, 39 kilometer timur laut Kaohsiung, bandar kedua terbesar di pulau itu dan juga pelabuhan penting.

Gempa itu pada mulanya dilaporkan 6.7 magnitud tetapi diturunkan kepada kepada 6.4.

Sehubungan itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata, kejadian tsunami tidak dijangka berlaku di sekitar kawasan Pasifik.

Taiwan terletak di persimpangan dua plat tektonik dan biasa dilanda gempa bumi.

Sementara itu, gempa bumi kuat 6.3 magnitud pernah melanda tengah Taiwan pada Jun 2013 yang menyebabkan empat orang terkorban dan mengakibatkan tanah runtuh.

Gempa bumi berukuran 7.6 magnitud pula pernah melanda pulau itu pada September 1999 dan mengorbankan kira-kira 2,400 nyawa.




Tainan, gempa bumi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain