suria

Bom Mungkin Punca Pesawat Somalia 'Berlubang' - Sumber Kerajaan AS

WASHINGTON: Pasukan penyiasat percaya bom kemungkinan punca insiden letupan di sebuah pesawat mengakibatkan ia terpaksa berpatah balik ke Mogadishu, ibu negara Somalia untuk pendaratan cemas pada Selasa lalu, kata sumber kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Pegawai berkata, seorang lelaki maut dalam insiden membabitkan pesawat Daallo Airlines.

Pihak berkuasa tempatan di utara Mogadishu berkata, mayat lelaki dipercayai disedut keluar menerusi 'lubang' pesawat akibat letupan itu.

Sumber AS yang enggan dikenali memberitahu Reuters bahawa bukti forensik adalah kurang dan tiada kumpulan yang tampil mendakwa bertanggungjawab mengakibatkan letupan itu.

Kumpulan militan di Somalia, Al-Shabaab, tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan.

Daallo Airlines menerusi laman webnya tanpa merujuk kepada letupan itu berkata, insiden tersebut mengakibatkan satu lubang pada badan pesawat 15 minit selepas berlepas.

"Juruterbang berjaya mendaratkan pesawat itu kembali ke Lapangan Terbang Mogadishu dengan selamat tanpa mengakibatkan insiden lain. Kesemua penumpang, kecuali seorang penumpang, dipindahkan dengan selamat," katanya, sambil menambah siasatan dilakukan terhadap "punca kehilangan seorang penumpang".

Ia menambah, dua penumpang yang mengalami cedera ringan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan. 

Pihak berkuasa tempatan berkata, mayat seorang penumpang ditemui di kawasan Balcad, kira-kira 30 kilometer utara Mogadishu. - Reuters


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain