suria

Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Bukan Di Jakarta

JAKARTA: Semua pesawat antarabangsa dan tempatan yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di sini diingatkan membuat pengumuman mereka telah selamat mendarat di Tangerang-Banten, bukannya di Jakarta.

Syarikat pengendali lapangan terbang PT Angkasa Pura II dalam kenyataan media yang dipetik media tempatan menjelaskan Lapangan Terbang Soekarno-Hatta sebenarnya terletak di Tangerang-Banten dan bukannya di Jakarta.

Katanya amalan anak kapal dalam pesawat sebelum ini ialah mengumumkan "Selamat Datang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Jakarta" dan ia harus ditukar kepada "Selamat Datang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta Tanggerang-Banten".

PT Angkasa Pura II berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan itu pada 29 Dis 2015 tetapi mendapati masih banyak pesawat yang mendarat menyebut lapangan terbang itu di Jakarta atau Cengkareng, Jakarta.

Katanya tujuan membetulkan nama tempat mendarat pesawat itu ialah bagi memberi maklumat yang tepat kepada penumpang bahawa mereka belum sampai di Jakarta, sambil mempromosikan nama wilayah sebenar tempat terletaknya lapangan terbang berkenaan.

Lapangan terbang itu sebenarnya terletak di Tangerang iaitu kota terbesar dalam Wilayah Banten yang bersempadan dengan Jakarta Barat dan Jakarta Utara.

Indonesia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain