suria

Pelancong Britain Maut Dipijak Gajah

Gambar hiasan.

BANGKOK: Seorang pelancong warga Britain maut dipijak oleh seekor gajah di pulau pelancongan Koh Samui, kata polis pada Selasa.

Mangsa dikenal pasti sebagai Gareth Crowe, 36, sedang menunggang gajah bersama anak perempuannya pada Isnin sebelum terjatuh apabila gajah berkenaan bertindak liar secara tiba-tiba.

"Kita mengesyaki cuaca panas menyebabkan gajah menjadi marah dan tidak biasa dengan kendalian pengembala gajah berkenaan," kata ketua daerah Samui, Paiboon Omark kepada AFP.

Paiboon berkata, Crowe mempunyai kaki palsu dan tidak berupaya untuk melarikan diri daripada haiwan yang bertindak liar itu.

Beliau menambah, anak perempuan Crowe dan pengembala gajah warga Myanmar mengalami kecederaan, tetapi terselamat dalam kejadian itu.

Gajah yang bernama "Golf" itu kini di bawah jagaan rapi.

Seorang jurucakap di Kedutaan Britain di Bangkok berkata, mereka dimaklumkan mengenai insiden itu dan menyediakan bantuan kepada keluarga mangsa. - AFP

Artikel Berikut

Artikel Lain