suria

Ibu Pejabat Polis Yaman Dibedil, 20 Maut

Pasukan penyelamat mengeluarkan mayat anggota polis yang tertimbus dalam runtuhan bangunan ibu pejabat polis Yaman di Sanaa.

SANAA: Anggota polis dan pemberontak Houthi dikenal pasti antara 20 mangsa yang terkorban dalam serangan yang dilancarkan pakatan yang diketuai Arab Saudi di bangunan ibu pejabat polis Yaman di sini.

Selain itu, lebih 30 lagi dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan di tengah bandar ini akibat serangan yang bermula awal pagi Isnin itu.

Menurut pegawai polis yang enggan dikenali itu, kejadian sama turut memusnahkan dan merosakkan kenderaan polis dan rumah di kawasan sekitarnya.

Bangunan berkenaan digunakan polis yang setia kepada Houthi dan anggota kumpulan berkenaan untuk berkumpul sebelum dikerah ke medan pertempuran.

Susulan kejadian itu, anggota Houthi dan tentera yang bersekutu dengannya mengepung kawasan itu, manakala pasukan khas pula tiba untuk membantu mencari mayat dan mangsa yang tertimbus.

Peperangan di Yaman sejak Mac lalu meragut lebih 5,800 nyawa.

Sanaa, polis, Yaman, Arab Saudi, Houthi

Artikel Berikut

Artikel Lain