suria

Jerebu: Indonesia Tutup Tiga Syarikat, 14 Dibeku Operasi

JAKARTA: Indonesia mengenakan tindakan terhadap lebih 20 syarikat kerana memulakan kebakaran hutan yang mengakibatkan 19 nyawa terkorban.

Tindakan itu termasuk arahan supaya tiga syarikat ditutup dan lesen ditarik balik kerana dituduh melakukan pembakaran terbuka.

Syarikat terlibat juga didapati menyebabkan masalah jerebu di sebahagian besar Asia Tenggara dan mengakibatkan Indonesia menanggung kerugian sebanyak AS$16 bilion (RM68 bilion).

Ia adalah kali pertama Indonesia menarik balik lesen syarikat atas sebab kebakaran hutan, yang berlaku setiap tahun kerana kegiatan tebang dan bakar.

Selain itu, Kementerian Alam Sekitar Indonesia turut membekukan operasi 14 syarikat dan memberi amaran akan menutup syarikat-syarikat tersebut jika mereka tidak mematuhi tuntutan kerajaan berhubung pencegahan kebakaran.

Beberapa syarikat lain juga diberi amaran keras dan diletakkan dalam pemantauan.

Keseluruhannya, kementerian itu telah menyiasat 276 syarikat sejak kebakaran itu berlaku September lalu.

“Kami telah menyekat 23 syarikat pada keseluruhannya, bermula daripada sekatan pentadbiran sehingga penarikan semula lesen, manakala 33 yang lain masih dalam proses siasatan, lesen mereka juga boleh ditarik balik sekiranya didapati bersalah.

“Kita memerlukan pe­nguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas supaya bencana ini tidak berulang, masalah ini telah berlangsung selama 18 tahun, namun tiada siapa yang mengambil pengajaran,”,” kata pegawai Kementerian Alam Sekitar, Kemel Amas.

Lebih daripada setengah juta orang mengalami jangkitan pernafasan yang teruk di Indonesia akibat daripada jerebu selain sejumlah rakyat di negara jiran Singapura dan Malaysia. – AFP





Indonesia, jerebu, Kemel Amas

Artikel Lain