suria

Presiden Vietnam Adakan Kempen Pujukan Di New York

NEW YORK: Presiden Vietnam Truong Tan Sang menamatkan lawatan beliau di New York selepas membuat penampilan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, dengan mengadakan kempen pujukan bagi mendapatkan sokongan selepas diasak pelbagai soalan dan tidak menolak untuk menjawabnya dalam satu majlis anjuran Asia Society di New York pada Isnin.

Ketika ditanya Naib Presiden Eksekutif Asia Society, Tom Nagorski yang juga bekas pengarang urusan bagi liputan antarabangsa di ABC News, Sang menggabungkan cara berterus terang dan humor untuk menjawab soalan yang rumit dan, kadangkala tajam.

Nagorski, pemenang lapan anugerah Emmy, menyentuh pelbagai subjek - daripada keadaan di rantau Asia Pasifik kepada ekonomi Vietnam, dan usaha memperhebatkan hubungan Amerika-Vietnam kepada kemungkinan konflik di Laut China Selatan.

Sang memetik beberapa cabaran yang dihadapi rantau ini, termasuk kumpulan negara ASEAN, dalam bentuk betapa bahayanya keadaan yang tidak stabil di Semenanjung Korea, keganasan, keselamatan siber, dan kebebasan pelayaran.

Beliau berulang kali menekankan kepentingan keselamatan maritim. Hubungan Vietnam dengan China disampaikan dengan tenang dan yakin di mana di satu pihak, kedua-duanya berkongsi hubungan dagang dua hala dan interaksi ekonomi.

Sebaliknya, Vietnam tidak mahu mengetepikan tuntutannya ke atas pulau-pulau di Laut China Selatan yang dianggap China sebagai miliknya.

Sang berkata cadangan Presiden China, Xi Jinping baru-baru ini supaya Laut China Selatan tidak dijadikan isu tentera adalah selaras dengan pandangan ASEAN.

"Saya menyokong idea ini yang selaras dengan pemahaman global," katanya.

Apabila diberitahu bahawa China berhujah bahawa ia mempunyai "tuntutan sejarah" ke atas pulau-pulau Hoang Sa (Paracel) dan Truong Sa (Spratly), Sang menjawab bahawa Vietnam juga mempunyai bukti penuh mengenai sejarah dan asas undang-undang untuk menyokong kedaulatannya ke atas pulau-pulau itu.

Vietnam berazam untuk melindungi kemerdekaan, kedaulatan dan keutuhan wilayahnya, dan menyelesaikan semua pertikaian atas asas undang-undang antarabangsa, kata beliau.

Selain Vietnam, negara-negara lain yang mempertaruhkan tuntutan ke atas pulau-pulau itu adalah Filipina, Taiwan, Brunei dan Malaysia.

Ditanya sama ada beliau mahu tentera Amerika untuk kembali ke Vietnam, Sang berkata dasar negaranya "adalah untuk mempelbagai dan meningkatkan hubungan pelbagai hala dengan negara-negara lain", beliau memberi contoh, kapal tentera laut asing termasuk dari Amerika Syarikat berlabuh di pelabuhan Vietnam.

Beliau berterus terang tentang isu-isu dengan China tetapi juga menyentuh dengan mesra tentang hubungan Vietnam dengan Amerika Syarikat dan memberi dorongan yang kuat untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan negara itu.

Vietnam cuba memujuk Amerika Syarikat untuk membatalkan larangan ke atas penjualan senjata kepada negara itu dan telah mengatakan dengan menarik balik larangan itu akan menghantar "isyarat" kepada seluruh dunia bahawa hubungan Amerika-Vietnam akhirnya telah kembali seperti biasa.

Sang berkata lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Vietnam, mungkin dalam musim luruh, akan memperkukuhkan perkongsian komprehensif secara formal semasa lawatannya sendiri ke Washington DC pada tahun 2013.

Amerika mahu Vietnam memperbaiki rekod hak asasi manusianya untuk merealisasikan potensi penuh perhubungannya. Ramai ahli kongres Amerika telah menyatakan bahawa Hanoi perlu memperbaiki rekod hak asasi manusianya jika ia mahu untuk mendapatkan keistimewaan dalam Perkongsian Trans-Pasifik yang ketika ini sedang dirundingkan. Vietnam adalah sebuah daripada 12 negara yang mungkin akan menjadi ahli dalam TPP.

Sang juga mempelawa pelabur Amerika yang berpotensi bagi merebut peluang untuk beroperasi di negaranya yang akan menawarkan insentif dan lain-lain manfaat kepada mereka.

"Kami juga berminat menarik pelaburan dalam pembangunan infrastruktur.

Jepun telah menyediakan kira-kira 40 peratus daripada pelaburan pembangunan  luar negaranya untuk pembangunan infrastruktur Vietnam," katanya.

New York, Vietnam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain