suria

Setiausaha Agung PBB Hadir Sambutan Hari Kebangsaan Di New York

Ban Ki-moon

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon dan isteri Ban Soon-taek antara tetamu khas yang menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan 2015 yang berlangsung di pejabat Perwakilan Tetap Malaysia di sini pada Rabu.

Ketibaan pasangan istimewa itu disambut oleh Wakil Tetap Malaysia di PBB Datuk Ramlan Ibrahim dan timbalannya Raja Reza Raja Zaib Shah bersama-sama pasangan mereka.

Walaupun kehadiran Ban dan isteri singkat kerana terpaksa bergegas ke majlis lain, namun ia amat bererti kerana julung kali Setiausaha Agung PBB dan isteri hadir pada majlis sambutan Hari Kemerdekaan negara.

Selain itu, ia merupakan kehadiran Ban dan isteri yang kedua di pejabat perwakilan Malaysia dalam masa seminggu, selepas kunjungannya pada 9 Sept bagi menghadiri majlis sambutan Hari ASEAN 2015 anjuran bersama negara ASEAN.

Sambutan Hari Kebangsaan diraikan semalam, kerana cuti pada Ogos dan memandangkan ramai tetamu yang tiada, perwakilan itu memilih 16 Sept untuk meraikan Hari Kemerdekaan negara yang juga merupakan Hari Malaysia.

Seorang diplomat ASEAN, yang enggan namanya disiarkan, mengandaikan kehadiran Setiausaha Agung PBB itu mungkin mempunyai kaitan Malaysia selaku pengerusi ASEAN pada tahun ini.

Tetapi Ramlan memberitahu Bernama bahawa beliau 'amat gembira' dengan penampilan Ban dan berkata: "Ia merupakan satu penghormatan..." katanya.

Ketua-ketua agensi Malaysia di New York dan juga wakil-wakil masyarakat Malaysia juga turut hadir.

Warga Malaysia, Datuk Judy Cheng-Hopkins, bekas Penolong Setiausaha Agung bagi Sokongan Pembinaan Keamanan PBB, juga turut hadir.

Wanita yang berasal dari Pulau Pinang ini memainkan peranan penting dalam pasukan pengaman PBB.

"Saya amat teruja untuk hadir ke majlis-majlis seumpama ini (berkaitan Malaysia). Majlis hari ini (sambutan Hari Kebangsaan Malaysia) adalah penting untuk setiap rakyat Malaysia," katanya.

Sambil menikmati sajian istimewa Malaysia, tetamu jemputan juga dihiburkan  dengan persembahan tarian penuh warna-warni oleh petugas Malaysia dan keluarga mereka, yang gigih menjalani latihan selama seminggu bagi menghasilkan persembahan terbaik untuk majlis itu.

Artikel Berikut

Ribut Vamco Landa Thailand

Artikel Lain