suria

Myanmar Lumpuh Akibat Bencana Alam

Banjir kilat menenggelamkan perkampungan dan laluan ke bandar sekitar Myanmar termasuk di Kalay.

YANGON: Banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda sekitar Myanmar kini semakin serius apabila 46 nyawa terkorban, manakala kira-kira 200,000 penduduk terjejas akibat bencana alam itu.

Pihak berkuasa negara itu berkata, ketika ini pasukan penyelamat bertungkus-lumus membantu puluhan ribu penduduk yang terkandas berikutan banjir yang mencecah paras bumbung rumah mereka.

Situasi itu menyebabkan penduduk di kawasan pedalaman terpaksa menggunakan kanu dan rakit buatan sendiri untuk ke tempat lebih selamat.

Laluan ke bandar di pedalaman utara dan barat Myanmar juga mengalami kerosakan, menyebabkan pasukan penyelamat bimbang sukar untuk mengetahui kerosakan sebenar akibat bencana tersebut.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa sungai-sungai kini melimpah dan mengancam lebih banyak kawasan ketika rantau Asia dilanda hujan monsun.

“Logistik amat sukar. Pasukan peninjau susah untuk sampai ke kawasan-kawasan terjejas banjir,” kata jurucakap PBB, Pierre Peron.

PBB bimbang dengan situasi ini, katanya, sambil menambah, walaupun banjir di sebahagian kawasan mula surut, air sungai-sungai melimpah dan mengenggelami kawasan baharu.

Hujan berterusan pada minggu lalu diburukkan lagi oleh Siklon Komen yang membawa angin kencang dan hujan lebat di barat negara itu.

Penduduk dekat bandar Kalay, rantau Sagaing di barat laut Myanmar terkepung akibat air banjir dengan kediaman mereka ditenggelami air bah yang dalam.

“Tiada amaran langsung, kami sangka ini musim banjir biasa,” kata seorang mangsa banjir berusia 30 tahun, Aye Myat Su.

Sejak beberapa hari lalu, beratus-ratus orang turut terkorban  di India, Nepal, Pakistan dan Vietnam susulan banjir dan tanah runtuh semasa musim hujan.



Myanmar, banjir kilat, PBB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain