suria

Banjir Di Myanmar Tambahkan Lagi Kesengsaraan Kanak-Kanak Unicef

BANGKOK: Kanak-kanak yang terdedah di Myanmar menghadapi "bencana berganda" kerana banjir menambahkan lagi kesengsaraan yang dihadapi oleh kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan dan mereka yang baru hendak pulih  daripada keganasan dan konflik, kata Tabung Kanak-kanak Pertubuhan bangsa Bersatu (Unicef).

"Banjir membebankan kanak-kanak dan keluarga yang sangat terdedah kepada bencana termasuk mereka yang tinggal di khemah di negeri Rakhine," kata Timbalan Wakil Unicef di Myanmar Shalini Bahuguna.

Banjir yang melanda memberi impak jangka panjang terhadap kehidupan keluarga, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unicef.

Di negeri Rakhine, 140,000 kanak-kanak dan keluarga yang tinggal di khemah-khemah adalah golongan yang paling terdedah, kata Unicef.

Tempat perlindungan, tandas, ruang pembelajaran dan kemudahan lain di khemah dibina untuk kegunaan jangka pendek, dan kerosakan sudah dijangka akibat hujan lebat dan tiupan angin, kata Unicef.

Awal tahun ini, Unicef merayu untuk dana sebanyak US$24.9 juta untuk membantu kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan dan konflik di negeri Rakhine.

Bagaimanapun, ia hanya menerima US$5.6 juta dan masih kekurangan US$19.3 juta, walaupun sebelum keperluan keluarga yang terjejas banjir diambil kira.

"Kesan daripada banjir ini menyebabkan keperluan bagi pembiayaan, terutama bagi keluarga yang diusir dan terdedah, menjadi lebih mendesak," kata Bahuguna.

Unicef berkata menurut kerajaan Myanmar, 31 orang telah mati dan lebih 200,000 orang di seluruh negara memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan.

Ia berkata 12 daripada 14 negeri dan wilayah di Myanmar terjejas banjir dan kerajaan telah mengisytiharkan zon bencana alam di empat wilayah Chin, Magwe, Sagaing dan Rakhine.

Maklumat mengenai jumlah mereka terjejas di negeri paling teruk terjejas  termasuk Rakhine, masih terbatas kerana pasukan penilaian tidak dapat sampai ke kawasan-kawasan yang terlibat akibat banjir, halangan di jalan dan tanah runtuh, kata Unicef.

Unicef, banjir, Myanmar

Artikel Berikut

Artikel Lain