suria

Obama Luangkan Masa Bersama Keluarga Bapa Di Kenya

Obama disambut Auma sebaik tiba di lapangan terbang Kenya, Jumaat.

NAIROBI: Ketibaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di tanah air nenek moyangnya, Kenya lebih bermakna apabila disambut ahli keluarganya.

Malahan, lawatan pertama ke negara kelahiran bapanya itu turut dimulakan dengan jamuan malam bersama sanak saudara termasuk adik tiri perempuannya, Auma.

Obama memeluk Auma yang seterusnya menaiki limusin bersamanya untuk ke hotel penginapan presiden itu.

Pada majlis makan malam itu pula, sanak saudara Obama turut hadir termasuk beberapa wanita yang disapa sebagai "Nenek" atau "Mama Sarah" yang dikatakan menjaga bapa presiden itu.

Ketibaan Obama mendorong Kenya mengadakan kawalan keselamatan besar-besaran dan ketat bagi melindunginya daripada militan Somalia.

Beberapa ibu kota Kenya, Nairobi dan ruang angkasanya ditutup semasa ketibaan Obama semalam. Obama akan berlepas ke negara pengerusi Kesatuan Afrika, Habsyah lewat Sabtu.

Sekurang-kurangnya 10,000 anggota polis atau 25 peratus daripada keseluruhan kekuatan polis Kenya ditugaskan mengawal keselamatan Obama di Nairobi.

Obama dijadualkan berucap pada sidang keusahawanan, selain menghadiri dialog pelaburan dan perniagaan, serta perbincangan mengenai demokrasi serta hak asasi.

“Saya perlu memberitahu anda betapa terujanya kami menantikan hari kunjungan Obama,” kata Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta.

“Lawatan ini merupakan bukti keyakinan pada negara kami,” ujar Gabenor Nairobi Evans Kidero pula. – AFP



Obama, Auma, Kenya

Artikel Lain