suria

Kasut Polis, Tentera China 'Bebas' Bau Busuk

Pasukan keselamatan yang dikenali sebagai wujing menggayakan kasut kanvas baharu bagi menggantikan kasut kebebasan yang dipakai sejak enam dekad lalu.

BEIJING: Masalah bau kaki di kalangan polis dan tentera China bakal berakhir apabila pasukan keselamatan itu kini dibekalkan dengan kanvas berongga hitam baharu.

Ini bermakna, pemakaian 'kasut pembebasan' selama enam dekad kini tinggal sejarah.

Menurut laman web polis tentera, kasut yang digunakan sejak 1949 itu akan digantikan dengan kasut kanvas berongga yang akan diedarkan kepada anggota polis separa tentera, Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China secara berperingkat-peringkat.

Langkah itu menggantikan pemakaian kasut getah samaran atau kasut hijau gelap yang digunakan tentera China sejak Parti Komunis menang dalam perang saudara pada 1949.

“Kasut ini lebih ringan. Saya rasa seperti memijak di atas kusyen lembut sambil berlari. Sangat selesa.

“Memandangkan kami telah menggunakan kasut ini sejak tahun lalu, rakan-rakan setugas di asrama tidak lagi mengalami masalah kaki berbau,’’ kata seorang pegawai, Qi Wenlong.

Polis tentera dikenali masyarakat tempatan sebagai ‘wujing’ dan bertanggungjawab menjaga keselamatan setempat.

Menurut laporan itu, kasut pembebasan juga akan diberikan satu ‘penghormatan perpisahan’.

Pegawai yang ditugaskan mencipta kasut baharu itu, Man Xiangdong berkata, kasut tersebut bersifat ‘antibakteria, antikulat dan tahan bau’, lapor agensi berita Xinhua.

Tambahnya, kasut yang digunakan sebelum ini ‘melepasi ujian tahun revolusi,’ namun secara berperingkat-peringkat digantikan dengan but tempur yang digunakan dalam latihan ketente­raan. – AFP









China, PLA, polis, kasut kanvan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain