suria

Cemas Saksikan Peluncur Diserang Jerung

Fanning diserang jerung dari belakang menyebabkan dia terjatuh dari papan luncurnya.

JOHANNESBURG: Peluncur air warga Australia berhadapan situasi cemas apabila diserang jerung ketika menyertai pertandingan yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen di Afrika Selatan pada Ahad.

Mick Fanning, 34 yang berjaya mara ke peringkat akhir cabaran dunia di Teluk Jeffreys itu bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan.

Menerusi siaran langsung itu, Fanning dilihat bertarung bagi mengelak dibaham haiwan pemangsa itu.

"Ia tiba-tiba muncul dan tersangkut pada tali kaki pada papan luncur.

"Saya menjerit dan menendang apabila melihat siripnya, tetapi giginya tidak kelihatan ketika saya berenang sepantas mungkin," katanya menerusi temubual televisyen selepas insiden itu.

Juara luncur air dunia tiga kali yang dikenali sebagai "White Lightning' berada di atas papan peluncur apabila jerung itu menghampirinya dan menyebabkan dia tergelincir.

Fanning yang diselamatkan bot pasukan penyelamat berkata, dia hanya kehilangan tali kaki pada papan luncurnya.

Liga Luncur Dunia (WSL) yang menganjurkan kejohanan Terbuka J-Bay itu berkata, dua jerung dikesan di sekitar kawasan berhampiran Fanning dan pesaingnya, Julian Wilson juga dari Australia.

"Kami sedang menyaksikan dia meluncur dan tiba-tiba sirip jerung itu muncul.

"Dapat dilihat air berkocak dan dia terjatuh dari papan luncurnya.

"Pada mulanya saya ingat dia akan menemui ajalnya didepan mata kami. Semua penonton bangun dan terdiam kerana terkejut apabila pengacara menjerit meminta semua yang berada dalam air supaya naik ke darat. Sampai sekarang saya masih terkejut dan menggigil," kata penonton Kaylee Smit kepada laman web News24.

Berikutan kejadian itu, pertandingan itu ditangguhkan. - AFP


Mick Fanning, Afrika Selatan, jerung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain