suria

Thailand Bebaskan Pemimpin Kanan PULO

YALA (Selatan Thailand): Bekas pemimpin kanan kumpulan pemisah, Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO), Ismail Ternang, dibebaskan dari penjara setelah mendapat pengampunan diraja sempena sambutan Aidilfitri pada Jumaat.

Ismail, yang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Penjara Yala, dibebaskan oleh pihak berkuasa Thailand setelah mendapat pengampunan daripada Raja Bhumibol Adulyadej.

"Langkah itu dilihat sebagai antara usaha mencari kedamaian di selatan Thailand yang masih bergolak dengan keganasan, menurut sumber PULO.

Banyak sahabat dan ahli keluarga menyambut kepulangan Ismail di Kampong Thanam, Panaret, Pattani, pada Jumaat, kata sumber itu.

Walaupun keadaan di wilayah selatan Thailand masih bergolak ketibaan 1 Syawal hari ini disambut dengan penuh kesyukuran.

Di Masjid Jamek wilayah Pattani, lebih 5,000 umat Islam dari sekitar bandar Pattani dan kawasan berhampiran membanjir masjid itu untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Imam masjid tersebut, Abdul Razak Mansoh berkata selain aktiviti solat sunat Aidilfitri, jamuan bagi anak yatim, fakir miskin dan jemaah turut diadakan oleh pihak jawatankuasa masjid.

Dalam pada itu, menurut laporan akhbar Bangkok Post pada 25 Jun lepas, rundingan sulit antara kerajaan Thailand dan enam kumpulan pemisah telah mencapai sedikit kemajuan untuk penyelesaian berkekalan di wilayah selatan negara itu.

Laporan itu memetik setiausaha delegasi kerajaan, Mejar-Jeneral Nakrob Boonbuathong sebagai berkata enam kumpulan tersebut ialah Barisan Revolusi Nasional (BRN), tiga puak daripada PULO, Barisan Islam Pembebasan Patan (BIPP) dan Gerakan Mujahidin Patani (GMP).

Thailand, PULO

Artikel Berikut

Artikel Lain