suria

Hampir 200 Juta Umat Islam Di India Sambut Aidilfitri Esok

Umat Islam menunaikan solat Jumaat di Masjid Jama, Allahabad sebelum meraikan Aidilfitri pada Sabtu.

NEW DELHI: Hujan lebat melanda New Delhi pada lewat petang tidak mematahkan semangat masyarakat Islam yang sibuk membeli-belah pada saat akhir, ketika kira-kira 200 juta umat Islam di India bersedia untuk menyambut Aidilfitri pada Sabtu.

Kawasan membeli-belah yang popular dalam kalangan masyarakat Islam terutama di Bazar Sadar dan Masjid Jama di bandar lama Delhi, penuh sesak dengan ribuan manusia sejak solat Jumaat.

Cuti hujung minggu yang panjang juga menyaksikan warga Delhi pulang ke kampung halaman masing-masing, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di laluan utama dan di stesen kereta api.

Antara yang terawal mengucapkan salam Aidilfitri ialah Naib Presiden India M.Hamid Ansari.

Dengan tulus ikhlas, beliau mengucapkan salam Aidilfitri kepada semua umat Islam menjelang hari lebaran itu yang menandakan berakhirnya bulan Ramadan yang mulia ini.

"Perayaan ini menandakan ekspresi tradisi persaudaraan dan persefahaman antara rakyat dan mengukuhkan lagi semangat kasih sayang, amalan bersedekah dan  kemurahan hati," jelas Ansari.

Umat Islam di India adalah ketiga terbesar di dunia selepas Indonesia dan Pakistan, yang mewakili 15 peratus daripada keseluruhan rakyat negara berkenaan.

India, Aidilfitri

Artikel Berikut

Artikel Lain