suria

Nepal Minta Larangan Perjalanan Ditarik Balik

KATHMANDU: Nepal merayu kepada semua negara supaya menarik balik nasihat perjalanan yang mengingatkan warganegara mereka supaya tidak berkunjung ke negara di Himalaya itu susulan kejadian gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 pada 25 April.

Menteri Pelancongan Nepal Kripashur Sherpa berkata keadaan di negara itu kini selamat dan terjamin.

"Kerajaan telah meminta negara-negara lain menerusi saluran diplomatik untuk menarik balik nasihat itu kerana kebanyakan bahagian di negara ini adalah selamat dan tidak terjejas oleh gempa bumi itu," kata Sherpa kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beberapa negara sudah menarik balik larangan perjalanan itu, membenarkan warganegara mereka melawat Nepal, manakala negara lain mungkin akan mengambil langkah serupa dalam waktu terdekat, katanya.

Amerika Syarikat, Britain, Switzerland, New Zealand dan Itali sudah menarik balik larangan perjalanan itu manakala kebanyakan negara di barat Eropah dan Kanada serta Jepun masih keberatan untuk membenarkan warganegara mereka berkunjung ke Nepal selepas kejadian gempa bumi itu.


Banyak negara mengeluarkan nasihat perjalanan dengan mengingatkan warganegara mereka supaya tidak melakukan lawatan ke Nepal selepas kejadian gempa bumi pada 25 April meragut nyawa sekurang-kurangnya 8,700 orang.

Pelancong yang berada di negara itu semasa kejadian gempa bumi itu berlaku telah membatalkan percutian mereka serta merta dan pulang ke negara masing-masing manakala mereka yang menempah tiket penerbangan dan hotel turut membatalkan tempahan itu.

Nepal menerima hampir 800,000 pelancong pada 2014 dan menjangka menerima hampir satu juta pelancong pada 2015.

Bagaimanapun, jumlah ketibaan pelancong merosot secara drastik selepas gempa bumi itu.

Menurut Persatuan Hotel Nepal, kadar penginapan hotel ketika ini adalah 40 peratus susulan kemerosotan ketibaan pelancong selepas gempa bumi itu.
Syarikat-syarikat penerbangan juga mengurangkan jumlah penerbangan susulan kekurangan penumpang.

Bagaimanapun, ketibaan pelancong mula bertambah kebelakangan ini dan dijangka semakin meningkat pada musim luruh, kata Nidra Chhetri, Pegawai Penerangan di Lembaga Pelancongan Nepal.

Bagaimanapun ia akan mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya, katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain