suria

Presiden Tunisia Isytihar Darurat Susulan Serangan Di Bandar Peranginan

Beji Caid Essebsi ketika mengumumkan perintah darurat di Tunisia.

TUNIS: Presiden Tunisia, Beji Caid Essebsi mengisytiharkan darurat, hanya seminggu selepas 38 pelancong warga Britain mahu dalam satu serangan di bandar peranginan di Sousse.

Undang-undang Sementara Darurat Tunisia memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menggerakkan tentera dan polis bagi menangani mereka yang cuba mengadakan perhimpunan awam dan menahan mereka yang ingkar.

Pihak berkuasa sudah memperketatkan langkah keselamatan dengan mengerahkan lebih 1,400 anggota bersenjata di hotel dan kawasan pantai.

Serangan berdarah minggu lalu, iaitu tiga bulan selepas serangan di Muzium Bardo di Tunis, mengejutkan negara Utara Afrika itu yang sedang melaksanakan demokrasi selepas insiden "Arab Spring" pada 2011 lalu.

"Berikutan risiko pengganas dan dalam konteks keselamatan serantau kami mengisytiharkan perintah darurat negara.

"Kami akan terus menangani ancaman yang boleh membawa peperangan dalam negara dengan menggunakan semua tindakan yang sesuai," kata Essebsi dalam satu siaran televisyen.  

Seorang lelaki bersenjata Tunisia yang dilaporkan pernah berlatih di kem jihad di Libya, melepaskan tembakan ke arah pelancong asing yang kebanyakannya warga Britain di sebuah resort di Sousse pada 26 Jun lalu. 

Kejadian pembunuhan itu menjejaskan imej industri pelancongan Tunisia dengan ribuan pelancong meninggalkan negara itu serta menyebabkan kehilangan dianggarkan AS$500 juta kepada sektor yang menyumbang pendapatan tujuh peratus kepada ekonomi Tunisia.

Pihak berkuasa sebelum ini juga bertindak menutup 80 masjid yang didakwa menyebarkan pengaruh ekstrem dan membantu merekrut anak muda menjadi militan. 

Tunisia pernah mengisytiharkan darurat pada 2011 ketika kemuncak pemerintahan autokrat Presiden Zine el-Abidine Ben Ali yang mencetuskan pemberontakan rakyat.
serangan Tunisia, darurat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain