suria

Tamat Operasi Feri Karam: 142 Selamat, 45 Maut

MANILA: Selepas mengenal pasti semua 187 penumpang dan anak kapal feri M/B Kim Nirvana yang karam, pasukan mencari dan menyelamat mengumumkan menamatkan operasi mencari mangsa feri karam di tengah Filipina yang mengakibatkan 45 maut.

Jurucakap pengawal pantai, Armand Balilo berkata, seramai 142 penumpang berjaya diselamatkan dan tiada lagi laporan mengenai mangsa yang hilang.

“Kami kini menunggu pengumuman rasmi bagi menamatkan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Sebuah kren terapung digunakan untuk menunda feri seberat 36 tan yang karam itu menuju ke pelabuhan Ormoc.

Feri diperbuat daripada kayu itu diapungkan semula supaya pihak berkuasa boleh menelitinya.

Kata Balilo, feri itu baru belayar dari pelabuhan Ormoc menuju ke bandar Pilar di kepulauan Camotes apabila ia dilambung ombak besar sebelum karam.

Katanya, kapten dan beberapa kru feri diselamatkan dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Antara tumpuan siasatan adalah kecuaian manusia, membawa lebih muatan dan sudah tentu faktor cuaca,” jelasnya.

Pasukan penyiasat belum mengetahui punca feri membawa muatan bahan binaan dan beras itu karam.

Komander pengawal pantai serantau, Pedro Tinampay memberitahu, kemungkinan pergerakan kargo di dalam feri itu menyebabkan ia terbalik sebelum karam.


Kim Nirvana, Manila, Ormoc

Artikel Lain