suria

38 Maut Feri Bawa 200 Penumpang Karam

Seorang penumpang ditenangkan pasukan penyelamat selepas isteri dan dua anaknya masih belum dijumpai.

MANILA: Sekurang-kurangnya 38 orang terkorban selepas sebuah feri penumpang dinaiki hampir 200 orang, karam di laut yang bergelora di tengah Filipina, pada Khamis.

Feri kayu Kim Nirvana itu dilapor sedang belayar dari bandar Ormoc menuju ke Pulau Camotes sebelum karam akibat bertembung dengan ombak besar.

Jurucakap Pejabat Pengurusan dan Pengawalan Bencana Daerah, Ciriaco Tolibao berkata, sejumlah bot menyelamatkan berpuluh-puluh penumpang feri yang berpaut pada kapal yang terbalik itu, kira-kira satu kilometer dari pelabuhan Ormoc di Pulau Leyte.

Katanya, pasukan penyelam mula mencari mangsa terselamat dari segenap badan feri itu.

Sebanyak 118 mang­sa terselamat dengan ada diantaranya dibawa ke hospital, manakala penumpang yang tidak mengalami kecederaan terus pulang ke rumah.

Tolibao bagaimanapun tidak dapat menjelaskan jumlah mangsa yang hilang, namun laporan dari radio di Manila mendakwa sebanyak 33 orang penumpang feri masih gagal dikesan.

Beliau berkata, feri yang membawa 189 penumpang dan 16 kru itu terbalik selepas 30 minit meninggalkan pelabuhan setelah bertembung dengan ombak besar.

“Kami sedang memeriksa kapal itu bagi mencari lebih banyak mangsa terselamat yang mungkin terperangkap di dalam badan feri tersebut.

“Kami berharap dapat menamatkan operasi menyelamat sebelum gelap dan hujan turun semula," tambah Tolibao.

feri, karam, Manila

Artikel Lain