suria

Thailand Mungkin Penjarakan Suspek Kes Ugut 1MDB

BANGKOK: Warga negara Switzerland, Xavier Andre Justo yang ditahan di Thailand berhubung dakwaan mengugut syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mungkin akan dipenjarakan di sini sebelum dia berhadapan perbicaraan dengan pihak berkuasa lain, kata polis Thailand pada Khamis.

Bagaimanapun mereka memberitahu hingga kini pasukan keselamatan itu masih belum bekerjasama dengan mana-mana kerajaan asing berhubung kes ini.

Justo tidak disoal siasat oleh mana-mana pegawai keselamatan asing dan tiada kerajaan asing membuat permintaan untuk berbuat demikian.

"Tidak ada sebarang permintaan rasmi. Kami tidak akan membenarkan pihak berkuasa asing untuk bekerja di sini," kata timbalan jurucakap polis kebangsaan, Kissana Phathanacharoen.

Namun kata beliau, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta untuk mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Polis Thailand, Jakthip Chaijinda, yang tiba di Malaysia pada Khamis bagi menghadiri mesyuarat peringkat menteri Asean mengenai penyeludupan dan perdagangan manusia.

Mereka dijangka membincangkan kes Justo.

Baru-baru ini akhbar Thailand melaporkan bahawa polis negara itu telah menahan Justo, 49, dan mendakwa warganegara Switzerland itu atas tuduhan cuba memeras ugut syarikat berkenaan.

Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Pumpunmuang berkata, pihaknya turut menggeledah kediaman Xavier Justo dan merampas sebuah komputer serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam jenayah itu.

Katanya, Xavier Justo merupakan eksekutif di PetroSaudi, sebelum melarikan diri ke Thailand.

Justo ditahan di sebuah rumah di Koh Samui pada Isnin atas dakwaan membocorkan maklumat kepada Sarawak Report mengenai 1MDB.

Namun, dia menafikan dakwaan tersebut.

Xavier Andre Justo

Artikel Sebelum

Artikel Lain